Lelaki ditahan bersama mercun bernilai RM250,000 – PGA7

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KOTA BHARU, 7 April – Seorang lelaki ditahan bersama sejumlah mercun bernilai lebih RM250,000 oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di sebuah premis kedai yang dijadikan stor penyimpanan mercun, dekat Kampung Bukit Kechil, Gunong di Bachok, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan, Supt Azhari Nusi berkata serbuan dilakukan pada 12.30 tengah hari selepas pemerhatian dilakukan ke atas premis itu.

“Ketika serbuan anggota PGA7 telah menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penyewa premis perniagaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut dalam premis berkenaan, menemukan 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM254,616,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang menambah kesemua mercun itu dipercayai akan dipasarkan di Johor.

Mengulas lanjut, Azhari berkata siasatan awal mendapati mercun berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti yang kecil menggunakan kereta bagi menggelak dikesan pihak berkuasa.

“Kesemua rampasan dan suspek berusia 30-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azhari berkata PGA7 juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang membawa empat wanita pendatang tanpa izin (PTI) Thailand berusia 29 hingga 38 tahun menggunakan Proton Exora di sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah pukul 9.15 pagi semalam.

Katanya, kesemua PTI itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dengan bayaran sebanyak RM1,700 selepas diambil dari Pulau Pinang dan Selangor.

“Kesemua tangkapan diserahkan kepada Cawangan Jenayah, IPD Tanah Merah bagi siasatan lanjut,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1290
Kongsi :
Previous post Pindah 25 ekor kambing hidup tanpa kebenaran, penternak didenda RM5,000
Next post PM ajak rakyat terus jaga kesihatan diri, planet
Ubah saiz-+=