Lelaki kail duit masjid dicari polis

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 Okt. – Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai bertindak memecah masuk ke Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama, di sini dan mencuri duit tabung dalam kejadian pada pagi Sabtu.

Lelaki terbabit dikatakan melakukan aktiviti jenayah itu antara jam 4.30 pagi hingga 5 pagi dan perbuatannya itu yang ‘memancing’ duit tabung berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian itu disedari siak masjid berkenaan kira-kira jam 5 pagi ketika tiba di masjid untuk solat Subuh.

Beliau berkata, siak masjid berkenaan curiga apabila melihat lampu di dalam kawasan masjid tidak menyala, yang kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut sebelum mendapati pintu gelongsor renggang serta terdapat kesan umpil.

“Siak kemudian melihat rakaman CCTV dan mendapati terdapat seorang lelaki masuk ke dalam masjid dan mengambil beberapa helai duit di dalam tabung dianggarkan bernilai kira- kira RM40.

“Suspek juga dikatakan turut mengambil wayar milik pekerja yang membuat kerja penyelenggaraan yang disimpan di dalam masjid,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, susulan itu siak masjid kemudian membuat laporan polis kira- kira jam 9.40 pagi hari sama di Balai Polis Melaka Tengah.

“Suspek dipercayai memecah masuk ke dalam masjid dengan memanjat tembok tepi dan megambil duit di dalam tabung dengan mengail menggunakan besi aluminium.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan pihak polis berdasarkan rakaman CCTV selain kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Koridor Sungai Melaka Fasa 2 bakal berkonsep moden
Next post Kerajaan negeri dan JPS tidak beretorik
Ubah saiz-+=