Koridor Sungai Melaka Fasa 2 bakal berkonsep moden
BANDA HILIR 12 Okt. – Beberapa pembaharuan baharu membabitkan pembangunan Sungai Melaka Fasa 2 yang turut melibatkan kawasan Taman Rempah ke Melaka Sentral dijangka bersambung kembali tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, antara pembaharuan yang dirangka ialah membangunkan kawasan koridor kiri dan kanan sungai dengan imej yang lebih moden.
Katanya, ia bagi membezakan konsep koridor Sungai Melaka fasa 1 dari Taman Rempah ke Banda Hilir yang lebih memfokuskan kepada sejarah dan warisan Melaka.
“Untuk jangka masa panjang, bila fasa kedua dibangunkan nanti, sepanjang koridor itu kita akan rancang satu tarikan baharu. Mungkin dari Taman Rempah hingga Melaka Sentral itu kita akan ada ciri-ciri atau konteks yang lebih moden.
“Maksudnya imej di kiri dan kanan sungai itu akan berubah, kita akan buat cadangan-cadangan baharu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini dalam Majlis Menghargai Petugas Barisan Hadapan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain pembaharuan koridor Sungai Melaka fasa 2, pihaknya juga bakal memperkenalkan tarikan terbaharu lain seperti ‘island hopping’ dan ‘night cruise’ bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.
Selain itu, jelasnya, pihaknya juga komited menambah baik fasiliti yang lebih selesa untuk pengunjung menaiki Melaka River Cruise (MRC).
“Di Taman Rempah, kita tiada konsep untuk pengunjung naik MRC dengan selesa. InsyaAllah, jika siap terminal baharu di seberang Taman Rempah ini, kita akan berpindah untuk operasi yang lebih selesa. Begitu juga dengan terminal di muara Sungai Melaka.
“Jadi, secara tidak langsung penambahbaikan ini akan membuatkan pengunjung lebih selesa dan selamat untuk menaiki perkhidmatan MRC,” katanya lagi.