Individu bergelang pink berlegar di pusat beli-belah palsu
AYER KEROH 12 Okt. – Satu mesej yang tular mendakwa terdapat kelibat individu bergelang pink di sekitar kawasan pusat beli-belah terkenal di Ayer Keroh disahkan palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tiada kes sedemikian dilaporkan berlaku dan ia sengaja direka dengan tujuan menakut-nakutkan orang ramai.
“Palsu. Gunakanlah maklumat yang betul daripada CPRC Negeri Melaka di talian 06-2345999 sahaja sebagai rujukan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Rahmad mengakui terdapat banyak laporan berhubung penularan mesej palsu berhubung pandemik COVID-19 dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk membangkitkan rasa panik di kalangan rakyat.
“Boleh jadi maklumat palsu yang direka dan ditularkan adalah untuk tujuan menakut-nakutkan rakyat. Tapi kadang-kadang ia bagus juga sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini.
“Maknanya, orang ramai kini jadi lebih peka terhadap pandemik dan pada masa sama akan jadi lebih berwaspada untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk membendung penularan COVID-19,” katanya lagi.
Terdahulu, satu mesej tular di aplikasi Whatsapp mengaitkan kononnya terdapat individu bergelang pink berlegar di jejantas yang menghubungkan dua buah pusat beli-belah di Ayer Keroh.
Mesej tersebut meminta orang ramai menjauhi kawasan pusat beli-belah tersebut dan sebuah lagi pasar raya di Cheng selain turut memaklumkan lokasi taman perumahan yang berlakunya kes positif COVID-19.
Difahamkan, mesej tersebut mula ditularkan sejak awal pagi tadi.