Lemang Aidiladha laris dijual menerusi platform ‘online’

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TELOK MAS 9 Julai – Ikhtiar adalah langkah terbaik dalam memajukan apa jua perniagaan.

Itulah yang dipraktikkan peniaga lemang di Telok Mas yang memanfaatkan kaedah promosi secara dalam talian bagi menjual lemang sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Muhammad Azhar Ashari, 24, berkata, jualan menerusi platform itu baginya begitu memuaskan berbanding menggunakan kaedah pemasaran biasa dengan hanya menunggu pelanggan seperti sebelum ini.

Dia meluahkan rasa syukurnya selepas tidak putus menerima tempahan daripada pelanggan apabila platform media sosial dijadikan sebagai medan melariskan perniagaannya sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Malah gerainya itu juga membuka jualan berkonsepkan secara datang terus kepada pelanggan selain menyediakan perkhidmatan penghantaran rumah ke rumah kepada pelanggannya.

“Alhamdulillah, dengan kaedah ‘online’ ini kami telah menerima tempahan seminggu awal sebelum Hari Raya Aidiladha ini dan terpaksa meletakkan kuota sebanyak 1,000 batang lemang apabila membuka tempahan kepada pelanggan atas talian.

“Sangat-sangat bersyukur dan berkesan kerana setakat ini lebih 2,000 batang lemang mampu terjual dalam sehari dan jumlah itu juga termasuk kepada bilangan permintaan pelanggan yang datang sendiri di kedai kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di gerainya di Jalan Telok Mas-Umbai, di sini hari ini.

MUHAMMAD Azhar. Foto Iqmal Haqim Rosman

Azhar yang merupakan penyambung legasi perniagaan ibunya yang beroperasi di lokasi sama sejak 1986, bertekad untuk meneruskan perniagaan makanan tradisi itu yang dijual pada harga RM15 hingga RM20 mengikut saiz.

Malah, selain lemang, dia turut menjual pelbagai makanan tradisi lak termasuk ketupat nasi, ketupat palas, rendang dan pelbagai lagi.

Katanya, biarpun jualan pada Hari Raya Aidilfitri lalu menerima tempahan dua kali ganda berbanding Aidiladha ini, namun dia tetap bersyukur dengan jualannya selepas menggunakan platform dalam talian.

“Kalau macam hari raya Aidilfitri lalu tempahan lagi menggalakkan malah ada juga permintaan dari hotel-hotel dan majlis keramaian.

“Sebelum ini memang tak pernah gunakan platfrom online namun sejak menggunakannya memang berpuas hati.

“Begitu juga dengan fasa peralihan ke endemik kali ini kami tetap bersyukur kerana dapat berjumpa pelanggan yang datang sendiri di kedai kami berbanding dahulu kami terpaksa menggajikan lebih 10 ‘runner’ untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran rumah ke rumah,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi berhadapan dengan Sekolah Menengah Sharifah Rodziah mendapati lebih lima gerai menjual lemang menerima kunjungan hebat dari pelanggan yang datang.

Malah, selain lemang pelbagai gerai lain turut menjual makanan tradisi lain seperti cencalok, belacan dan pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1442
Kongsi :
Previous post Ringankan beban asnaf sambut Aidiladha
Next post Berita kemelut politik Melaka adalah provokasi – Mohd Ridhwan
Ubah saiz-+=