Lima gajah betina berkeliaran di Kampung Kuala Tiga ditangkap- Perhilitan Kelantan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANAH MERAH 27 Jan. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap sekumpulan lima gajah betina di Kampung Kuala Tiga di sini semalam yang berkeliaran di kawasan itu sejak November lalu.

Pengarah Perhilitan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, kelima-lima haiwan liar ditangkap pada kira-kira 4.30 petang dengan kaedah tembakan pelali semasa lima anggota Perhilitan Daerah Jeli menjalankan pemantauan di kawasan kebun getah milik penduduk.

Beliau berkata, Perhilitan Kelantan bertindak selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai sekumpulan gajah yang berkeliaran di kampung itu dan memasuki kawasan kebun getah mereka.

“Kesemua gajah liar ini adalah gajah betina dan sebahagian daripada kumpulan gajah yang terdapat di dalam kawasan Hutan Simpan Sokor Taku yang terletak berdekatan kampung itu.

“Gajah-Gajah ini dipercayai keluar dari hutan simpan berkenaan untuk mencari sumber makanan di kampung itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ady Ermanty berkata, penangkapan haiwan itu melegakan penduduk di sekitar Kampung Kuala Tiga, Kampung Air Kerla, Kampung Bukit Capong dan Kampung Air Resom.

“Ia juga dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman yang dilakukan kumpulan gajah itu,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan kumpulan gajah liar itu akan dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang dan lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Kompleks Taman Negara.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Bantuan Prihatin Rakyat dipercepat dari Mei kepada akhir Februari ini
Next post Mendiang Venglos cepat mesra, miliki sifat kebapaan
Ubah saiz-+=