Lima Rumah Prihatin di Ayer Limau dah siap

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER LIMAU 6 April – Sebanyak lima buah Rumah Prihatin menelan kos lebih RM170,000 siap dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer jumlah rumah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri itu sekali gus melengkapkan keseluruhan 40 buah rumah di Melaka.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata beliau berbesar hati menerima peruntukan untuk membina Rumah Prihatin di kawasannya dan peruntukan diberikan itu bagi membantu keluarga memerlukan berteduh di bawah rumah baharu yang dibina secara percuma itu.

“Bantuan Rumah Prihatin ini adalah bentuk inisiatif Kerajaan Negri dalam membantu rakyat Melaka untuk memiliki rumah sendiri terutamanya daripada golongan yang kurang kemampuan atau yang berdaftar dengan Pengkalan Data Kemiskinan Negara (e-Kasih).

“Saya amat berbesar hati berikutan lima buah rumah diperuntukkan di kawasan Ayer Limau dengan kos peruntukan sebanyak RM172,500.

“Menerusi peruntukan itu tiga Rumah Prihatin dilengkapi kemudahan tiga bilik tidur telah dibina, menelan kos sebanyak RM37,500 seunit manakala dua lagi unit Rumah Prihatin juga telah dibina dengan dilengkapi dua kemudahan bilik tidur dengan masing-masing menelan kos RM30,000 seunit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Rumah Prihatin DUN Ayer Limau Daerah Alor Gajah di kediaman Sete Rohkeah Karim di Kampung Ramuan China Kechil, Lubok China, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Datuk Saiful Azwa Kapli, Pengarah Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka, Shaari Samsudin serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Hameed berkata pelbagai bentuk bantuan perumahan diperuntukkan buat rakyat di kawasan itu bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan dapat dinikmati golongan terbabit.

Jelasnya, selain peruntukan daripada Kerajaan Negeri, dua buah rumah baharu di bawah peruntukan dari Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah dijangka siap dibina tahun ini.

“Peruntukan RM390,000 telah disalurkan untuk Ayer Limau bagi membina rumah baru dan membaiki 30 unit rumah pada tahun ini.

“Ia sekali gus merekodkan Ayer Limau merupakan satu-satunya DUN yang tertinggi menerima peruntukan bagi baik pulih rumah di negeri ini.

“Kami berharap dengan bantuan disalurkan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan ini mampu membina lembaran baharu buat penerima di DUN ini agar sinar baharu ini mampu mensejahterakan keluarga penerima lebih-lebih lagi bakal meraikan Syawal yang bakal tiba,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1535
Kongsi :
Previous post Asnaf, anak yatim tidak dilupa
Next post Lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM227, 914
Ubah saiz-+=