Lori, treler jangan bawa lebih muatan – KP JPJ

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER MOLEK 17 Oktober – Kenderaan komersial khususnya lori dan treler perlu memastikan muatan dibawa tidak melebihi berat dibenarkan bagi mengelak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, sesebuah kenderaan komersial sudah mempunyai kapasiti berat dengan muatan (BDM) yang dibenarkan dan mereka perlu akur dengan itu.

“Kita tahu bahawasa mereka ini (kenderaan komersial) mengejar ‘trip’ dan barang yang dibawa, bila berlaku overloading kemampuan brek kenderaan mempengaruhi.

“Kekalkan (BDM), jika kenderaan itu perlu membawa sedemikian berat, sila patuhi jangan melangkaui BDM yang sudah ditetapkan. Mengikut Seksyen 57 (1) Akta Pengangkutan Darat memperuntukkan hukuman berat namun bagi kita keselamatan pengguna jalan raya perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ulang Tahun Ke-20 Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di Tiang Dua, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) Datuk Ahmad Suhaimi Hashim; Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat serta Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Mengulas mengenai kemalangan tragis di Sedenak, Johor, yang menyebabkan dua individu rentung, beliau berkata, beberapa aspek perlu dilihat termasuk sama ada melalui proses Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).

“Sebenarnya banyak benda yang kita perlu tengok termasuk melalui proses JISA ia bagi memastikan mereka yang terbabit dengan kemalangan bila kali terakhir melakukan pemeriksaan di PUSPAKOM.

“Selain itu dari segi struktur binaan kenderaan itu sendiri memenuhi atau tidak laporan JISA dan jikalau ada kekurangan di mana-mana berkaitan teknikal, tindakan susulan akan diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2163
Kongsi :
Previous post 750 peserta Historical Hunt berentap rebut hadiah bernilai RM10,000
Next post COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 8.5 peratus
Ubah saiz-+=