LORONG ‘ALWAYS GREEN’ MASJID TANAH-SUNGAI UDANG KURANGKAN KESESAKAN
LENDU 27 September – Kerja naik taraf lorong tambahan di persimpangan Solok Duku, Masjid Tanah giat dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan jalan raya berlaku pada waktu puncak.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kesesakan dijangka mampu diatasi selepas kerja naik taraf yang turut membabitkan pembinaan satu lorong khas ‘always green’ dari Masjid Tanah menghala ke Sungai Udang siap kelak.
Jelasnya, kerja naik taraf itu membabitkan laluan sejauh 200 meter yang dilengkapi dengan lorong susur keluar bagi melancarkan lagi aliran trafik.
“Projek pelebaran jalan persimpangan jalan persekutuan Melaka-Lubok China ini membabitkan pembinaan dua lorong dari Masjid Tanah, satu lorong akan dijadikan lorong khas ‘always green’untuk menghala ke Sungai Udang manakala satu lagi lorong untuk laluan ke Tanjung Bidara.
“Pembinaan ini turut membabitkan dua lorong bagi laluan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah dan satu lorong susur keluar ke Tanjung Bidara.
“Laluan dari Tanjung Bidara juga turut dilengkapi dua lorong iaitu satu lorong susur keluar ke arah Masjid Tanah dan satu lagi lorong menghala ke Sungai Udang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan persimpangan jalan itu, di sini hari ini.
Hadir sama, Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar.
Pada masa sama, Hameed berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu kesesakan di laluan berkenaan khususnya pada waktu puncak sebelah pagi dan petang.
Menurutnya, projek dengan peruntukan RM1.2 juta dijangka siap sepenuhnya pada awal November depan diharapkan dapat mengatasi keluhan pengguna jalan raya.
“Insya-Allah kita harap perkara ini akan membawa satu kebaikan untuk pengguna jalan raya pada masa akan datang dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.