Lorong ‘U-Turn’ Lebuh AMJ Paya Rumput ditutup sementara

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

LENDU 25 Februari – Lorong pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berdekatan Paya Rumput (FT019) ditutup sementara untuk memberi laluan kajian penuh dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kajian itu dilaksanakan bagi mencari alternatif lain untuk mengelakkan kemalangan yang kerap berlaku seperti sebelum ini.

Jelasnya, penutupan itu adalah bersifat sementara agar kajian penuh dapat dilaksanakan JKR dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Kita memberikan tempoh selama dua minggu untuk penutupan itu bagi memberi laluan kajian keselamatan jalan raya dijalankan.

“Hal ini kerana jalan di kawasan berbukit itu agak merbahaya kepada pengguna jalan raya dan difahamkan sebanyak tujuh kemalangan maut berlaku di kawasan tersebut.

“Jadi kita sedang merancang alternatif lain untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin dan berharap pengguna memberikan kerjasama agar kajian penuh ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2024) Sepak Takraw di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Program itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post Peniaga kopi antara peserta pertandingan memancing
Next post 1,500 kaki pancing serbu Sungai Melaka
Ubah saiz-+=