LPM rancang rumah kluster mampu milik

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) kini dalam perancangan membangunkan dua perumahan kluster baharu mampu milik yang mana harga jualanya tidak melebihi RM250,000 bagi setiap unit.

Pegawai Eksekutifnya, Mohd Salleh Hamidon berkata, perumahan kluster baharu itu membabitkan rumah teres satu setengah tingkat dan dua tingkat masing-masing beharga RM150,000 dan RM180,000.

“Kita dalam peringkat untuk bangunkan rumah konsep baharu iaitu rumah teres kluster yang mana harganya antara RM150,000 hingga RM180 000 dan bergantung kepada lokasi dimana ia akan dibangunkan. Contohnya jika di bandar harganya akan naik tetapi tidak akan melebihi RM250,000 bagi teres dua tingkat.

“Sebagai permulaan untuk tahun ini dijadualkan akan ada dua projek dibangunkan masing-masing di Lendu dan Paya Rumput dengan anggaran kesemunya 711 unit yang dijangka pembinaan bermula pada Ogos depan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut beliau, walaupun projek itu dijangka tempoh pembinaannya siap dalam masa setahun, namun aspek kualiti dan keselamatan menjadi keutamaan pihaknya.

Sementara itu Mohd Salleh berkata, pihaknya dimaklumkan walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, namun jualan rumah tidak berdepan masalah terutamanya yang membabitkan harga jualan dibawah RM300,000.

Selain itu, katanya, projek-projek perumahan dibawah LPM dengan kerjasama pemaju diteruskan seperti sebelum ini.

“Sebelum PKP, LPM mempunyai 12 projek yang mempunyai kelulusan untuk dibangunkan namun terpaksa ditangguh sementara tetapi kini sudah diteruskan termasuk proses menandatangani empat projek baharu,” katanya.

Views:

726
Kongsi :
Previous post Pelajar UiTM Melaka kembali ke kampus ambil barangan peribadi
Next post Mi segera ‘top 3’ permintaan tertinggi semasa PKP
Ubah saiz-+=