Pelajar UiTM Melaka kembali ke kampus ambil barangan peribadi

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 18 Jun – Seramai 952 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka telah mula kembali ke kampus bagi mengambil barangan peribadi untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang membenarkan rakyat merentas negeri bagi urusan masing-masing.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Melaka, Datuk Dr Mohd Nor Hajar Has berkata, kebenaran untuk kembali ke kampus bagi setiap pelajar adalah berdasarkan ketetapan tarikh dan masa yang ditentukan oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing.

“Ia sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh pelajar terutamanya untuk mengambil bahan-bahan pelajaran seperti buku teks dan nota penting yang tidak dapat dibawa semasa arahan pulang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Pengosongan bilik di kolej kediaman diarahkan bermula pada 15 Jun lalu hingga 29 Jun ini secara berperingkat dan berjadual seperti yang telah ditetapkan bagi mengawal jumlah kehadiran pelajar di kampus pada satu-satu masa.

“Kami menegaskan proses pulang dan pengambilan barang-barang di kampus ini dijalankan dengan tertib dan teliti bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, kebenaran untuk kembali ke kampus di seluruh kampus UiTM adalah berdasarkan kelulusan dan kenyataan dari pihak pengurusan universiti terbabit.

“Ia selari bagi menjaga kebajikan dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar mengimbangi norma baharu belajar dari rumah.

“Pada masa sama, bagi pelajar dan penjaga yang memasuki kampus mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh universiti antaranya menjalani saringan kesihatan atas talian, pemeriksaan suhu, pengesanan gejala, pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial,” katanya.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post MU kembali ke padang minggu depan
Next post LPM rancang rumah kluster mampu milik
Ubah saiz-+=