MU kembali ke padang minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PEMAIN dan pegawai kejurulatihan Melaka United (MU) dijangka kembali ke padang minggu depan selepas lebih tiga bulan berehat akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, langkah awal kembali ke kancah bola sepak itu, bagaimanapun bergantung kepada keputusan ujian calitan (swab test) Covid-19 yang telah dijalankan di Stadium Hang Jebat, Selasa lalu.

“Ujian ini (swab test) diwajibkan kepada setiap pasukan dan pemain seperti yang tertakluk dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL).

“SOP ini juga selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mana selepas jika ujian didapati negatif Covid-19, maka barulah pasukan dibenarkan kembali berlatih.

“Saya menjangkakan kita akan kembali memulakan latihan bermula minggu depan, apa pun bergantung kepada penilaian Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Sementara itu, Setiausaha Agung MUSA, Mohd Asri Ninggal berkata, latihan pasukan Melaka United hanya akan dijalankan secara tertutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Keputusan diperoleh dalam tempoh 48 jam dan selepas itu barulah latihan berpasukan tanpa sentuhan dimulakan mengikut SOP yang ditetapkan. Setiap latihan juga hanya akan dilaksanakan secara tertutup,” katanya.

Terdahulu, MHI melaporkan hanya latihan tanpa sentuhan dibenarkan kepada pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada peringkat awal PKPP.

Difahamkan, saingan liga dijangka bersambung kembali pada awal September depan.

Views:

527
Kongsi :
Previous post Peniaga lega masalah longkang tersumbat hampir selesai
Next post Pelajar UiTM Melaka kembali ke kampus ambil barangan peribadi
Ubah saiz-+=