‘Mahu banggakan ibu bapa dalam sukan angkat berat’ – Nurul Syasya

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BIARPUN baharu menginjak usia 14 tahun, namun impian atlet angkat berat muda Nurul Syasya Khairina Samsur, untuk membanggakan ibu dan bapanya dalam sukan itu tidak boleh dinafikan.

Menurut Nurul Syasya bukan hanya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik di sekolah, namun bidang sukan juga menjadi keutamaannya.

Itu antara matlamat Nurul Syasya yang pernah menyumbang pingat emas dalam sukan angkat berat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

“Tidak dinafikan kadang-kadang saya rasa malas untuk pergi latihan angkat berat, namun bila difikirkan semula saya perlu membanggakan ibu dan bapa dalam bidang sukan dan akademik.

“Saya mula berminat dalam sukan ini sejak darjah lima, hasil perkongsian dan latihan bersama jaguh angkat berat Filipina Hidilyn Diaz, sehingga sekarang saya masih berkecimpung dalam sukan ini.

“Hidilyn banyak mengajar saya teknik angkat berat yang betul, pernah juga tangan saya terseliuh namun itu bukan pematah semangat untuk saya terus berjaya,” katanya ketika ditemui pada Program Mengenalpasti Bakat Sukan (TID) Bagi Sukan Angkat Berat Tahun 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua, di sini, baru-baru ini.

Gadis ini menyasarkan pingat emas yang bakal dibawa pulang pada kejohanan National Junior & Senior Weightlifting Championships di Rompin, Pahang pada 16 hingga 19 Mac depan.

“Acara paling dekat saya akan sertai adalah National Junior & Senior Weightlifting Championships di Rompin, Pahang pada 16 hingga19 Mac depan dan Commonwealth Junior and Senior Championships di New Delhi, India pada 12 hingga 16 Julai.

“Sasaran untuk perlawanan bulan Mac ini, insya-Allah pingat emas, di India saya belum pasti lagi sasaran pingat apa, tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk harumkan nama negara khususnya Negeri Melaka.

“Daripada segi persediaan pula saya kena banyak latihan, perbaiki teknik untuk angkat berat, alhamdulillah setakat ini tidak mengganggu pelajaran saya, ibu dan ayah juga sentiasa menyokong minat saya ini,” katanya.

Sementara itu bapanya, Samsur Midon, 54, berharap Nurul Syasya dapat memberikan impak besar dalam sukan angkat berat di negara ini.

“Syasya sebelum ini memang aktif dengan sukan bola baling dan lontar peluru mewakili sekolah ke peringkat daerah, tetapi bila dia dapat masuk sukan angkat berat, saya nampak dia lebih bersemangat untuk menceburi bidang ini.

“Sebagai ayah dan orang yang juga melatih Syasya, saya harap dia dapat memberikan impak besar dalam sukan angkat berat terutama di Negeri Melaka.

“Saya yakin Syasya mampu dibawa sehingga ke peringkat lebih tinggi jika dia diberikan peluang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1825
Kongsi :
Previous post Gempa Turkiye: Satu lagi hospital medan berskala kecil dijangka dibuka – PTD
Next post Tiga warga asing ditahan terlibat kes bunuh
Ubah saiz-+=