Majikan diingatkan patuhi akta berkaitan penginapan pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Feb. – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengulangi penegasan kepada semua majikan di negeri agar mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pengarah MKN Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, pematuhan terhadap akta itu amat penting kerana antara punca peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 disebabkan pengabaian aspek kebersihan dan keselesaan di penempatan pekerja termasuk bilik atau asrama yang sesak.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius oleh setiap majikan yang menggaji pekerja asing terutama sektor perkilangan yang merekodkan 128 kluster setakat ini iaitu tertinggi berbanding sektor lain.

“Peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di sektor ini disebabkan penempatan pekerja yang bersesak dan tidak mematuhi piawaian ditetapkan dalam akta.

“Menerusi pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa misalnya, ada kes sebuah rumah menempatkan lebih 20 pekerja sedangkan had dibenarkan hanya enam pekerja saja bagi keselesaan,” kata dalam progam bual bicara ‘Dialog bersama MelakaFM’, di sini hari ini.

Mohd Nasrul berkata, majikan juga perlu menanggung pemindahan dan kos ujian saringan terhadap pekerja mereka selain perlu melaksanakan pemantauan terhadap pekerja sama ada semasa dan selepas tempoh bekerja.

“Pergerakan keluar pekerja dari tempat bekerja juga perlu diminimumkan seperti menghantar wakil untuk membeli barangan keperluan bagi memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja perlu diperketatkan bagi membendung penularan COVID-19 kerana MKN mendapati masih berlaku pelanggaran.

Katannya, tindakan tegas akan diambil dan terus diperketatkan termasuk tindakan perundangan terhadap pemilik premis dan perniagaan yang melanggar SOP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post ‘2021, tahun ikat perut MUSA’
Next post Muhyiddin kongsi pengalaman disuntik vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=