‘2021, tahun ikat perut MUSA’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) menyifatkan 2021 sebagai tahun ‘survival’ dan ‘ikat perut’ bagi badan induk bola sepak negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Ir Ahmad Roslee Hamzah berkata, hal itu berikutan pihaknya perlu memulihkan semula struktur persatuan yang sebelum ini dibebani masalah kewangan.

Ujarnya, sepanjang tempoh sukar ini pihaknya menggariskan beberapa misi antaranya mengekalkan lesen persatuan selain melunaskan segala isu pembayaran elaun dan gaji pemain serta pegawai skuad Hang Tuah.

“Apabila saya dipanggil masuk semula ke dalam persatuan, misi pertama saya ialah untuk menambah baik struktur persatuan ini. Saya tidak mahu bercakap atau menjatuh hukum kepada pengurusan lalu, sebaliknya memberi fokus kepada pentadbiran baharu sekarang.

“Jadi, bagi misi pertama saya ialah untuk mengekalkan lesen kerana kita masih mahu bertanding dalam saingan Liga Malaysia dan kedua, kita mahu melangsaikan segala pembayaran gaji dan elaun pegawai serta pemain dari peringkat bawah sehinggalah pasukan utama.

“Selain itu, fokus juga diberikan kepada ketulusan dan mengelak ketirisan. Memandangkan ini tahun ‘survival’ atau bahasa mudahnya tahun ikat perut, kita meminta semua untuk berkorban bagi memastikan kita dapat terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam MUSA di Ujong Pasir.

Mengenai aspek penajaan, Ahmad Roslee memaklumkan pihaknya telah menerima tajaan bernilai RM2.5 juta daripada Edra Power Holdings Sdn Bhd untuk tahun ini.

Bagaimanapun, penajaan itu jelasnya, bukan dalam bentuk wang bagi urusan pembayaran gaji pemain, sebaliknya untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur MUSA dan anak syarikatnya, Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC) Sdn Bhd.

“Infrastruktur dimaksudkan ialah satu bangunan baharu untuk kegunaan MUFC yang dianggarkan bernilai RM600,000 hingga RM700,000 menempatkan bilik mesyuarat, bilik perbincangan, bilik Ketua Pegawai Eksekutif dan gimnasium khas untuk pemain.

“Selain itu, peruntukan sama turut akan disalurkan bagi menaik taraf empat padang bagi tujuan latihan pemain dan sebagainya,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post Agong zahir pandangan parlimen boleh bersidang semasa darurat
Next post Majikan diingatkan patuhi akta berkaitan penginapan pekerja
Ubah saiz-+=