Majlis akad nikah dibenarkan di Melaka, namun bersyarat

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 27 Jan. – Majlis akad nikah di Melaka masih dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis akad nikah boleh dilangsungkan di mana-mana masjid kariah di zon kuning atau hijau di negeri ini, manakala bagi zon jingga atau merah, majlis tersebut hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Bagaimanapun, jelasnya kebenaran itu tertakluk kapasiti dan syarat tertentu yang ditetapkan di setiap kawasan.

“Kehadiran ke majlis akad nikah di PAID terhad kepada lapan orang iaitu jurunikah atau pendaftar, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi dalam kalangan pegawai syarak atau pegawai JAIM (Jabatan Agama Islam Melaka) serta dua ahli keluarga lelaki dan perempuan.

“Bagi majlis akad nikah di masjid kariah atau lokasi yang ditetapkan oleh JAIM, hanya 15 orang sahaja dibenarkan hadir termasuk jurunikah atau pendaftar, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi pegawai syarak.

“Tempoh majlis akad nikah juga haruslah tidak melebihi 20 minit termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bakal pengantin yang datang dari zon merah mesti menjalani ujian calitan COVID-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah sementara bagi bakal pengantin dari luar Melaka juga perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri daripada polis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka perkhidmatan permohonan Kebenaran Berkahwin (KB), Temuduga Perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya seperti carian sijil Nikah, Cerai dan Rujuk.

Namun, jelasnya, kesemua perkhidmatan itu hanya akan dibuka melalui janji temu, manakala perkhidmatan khidmat nasihat dan rundingcara kekeluargaan akan dijalankan secara atas talian atau bersemuka melalui janji temu.

“Namun, untuk beberapa perkhidmatan lain seperti permohonan pernikahan bagi kedua-dua bakal pengantin yang bukan pemastautin Negeri Melaka dan Kursus Praperkahwinan Islam (KPI) secara bersemuka masih ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

-HABIS-

Views:

2804
Kongsi :
Previous post PKP 2.0: Melaka benarkan maksimum 500 jemaah di masjid bermula esok
Next post Hamzah sembuh daripada COVID-19
Ubah saiz-+=