Majlis Apresiasi SK Ujong Pasir iktiraf kejayaan murid

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 19 Februari – Sekolah Kebangsaan (SK) Ujong Pasir mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Apresiasi Sesi 2022/2023 menerusi kerjasama bersama syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) Negeri Melaka, Khamis lalu.

Majlis yang bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan murid dalam akademik, kokurikulum serta sahsiah turut melibatkan kehadiran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah; Polis Perhubungan Sekolah (PPS); alumni dan ibu bapa.

Pengurus Besar TM negeri, Datuk Rozlan Mohamed dalam ucapannya berkata, pengetahuan dan penceritaan tentang sejarah bidang komunikasi manusia terawal bermula ketika Rasullullah S.A.W menyampaikan wahyu Allah kepada umatnya serta ciptaan telefon pertama oleh Alexander Graham Bell.

Katanya, manakala sejarah bidang komunikasi negara yang mula dirintis menerusi penubuhan Jabatan Telekom dan Pos Malaysia.

“Melaka adalah antara negeri terawal merintis bidang komunikasi di Malaysia dengan penyediaan kemudahan peti pos pertama di negara kita yang disediakan di Banda Hilir.

“Manakala Bukit St Paul menjadi lokasi pertama didirikan menara telekomunikasi di Malaysia dan inu membuktikan bahawa bidang komunikasi di Malaysia telah bermula lebih awal di Melaka berbanding negeri-negeri lain,” katanya sebelum merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama, Guru Besar SK Ujong Pasir, Siti Selyna Md Nasir, Penolong PPD, Muhammad Izzat Muhamad Zulkifli dan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Muhammad Muzammil Moktar.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan majlis memeterai jalinan untuk bekerjasama dalam membantu memperkasakan Program Pendigitalan dan Pembudayaan ICT di SK Ujong Pasir pada masa hadapan.

Perasmian majlis turut dimeriahkan dengan pergerakan lintas hormat sepuluh unit kenderaan TM sebagai gimik perasmian majlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2388
Kongsi :
Previous post TMM2024 sasar 18.7 juta kemasukan pelancong
Next post MTEX: Pemain industri giat promosi tarik pelancong
Ubah saiz-+=