TMM2024 sasar 18.7 juta kemasukan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 18 Februari – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dijangka mampu menarik sehingga 18.7 juta pelancong melawat negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sasaran berdasarkan produk pelancongan yang ada termasuk yang akan diperkenalkan pada 2024 nanti.

Muhammad Jailani berkata, pihaknya mempunyai kurang sembilan bulan sahaja lagi untuk memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.

Jelasnya sasaran asal adalah sekitar 10 juta tetapi setelah berbincang ia dinaikkan kepada 18.7 juta pelancong.

Mengakui tugas dipikul amat besar Muhammad Jailani akan memastikan kerjasama dengan agensi berkenaan berjalan lancar dan memacu pelancongan Melaka.

“Kita akan menjenamakan semula produk mana yang perlu dan perbaiki mana yang rosak. Malah akan memperkenalkan beberapa produk baharu seperti pembangunan di Pulau Besar, kemasukan bot Melaka River Cruise (MRC) yang baharu, program-program pelancognan antarabangsa dan tarikan belon udara panas.

“Malah bagi sektor pelancongan luar bandar, kita juga telah menetapkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah perlu mengeluarkan produk baharu pelancongan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas hadir menyampaikan sesi perbentangan dalam flagship keenam dalam iaitu Memperkasa Pelancongan Negeri Melaka dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 menerusi Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka 2013 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata TMM2024 turut memperkenalkan ‘tagline’ pelancongan yang baharu iaitu ‘Mana Lagi, Melakalah!’ sebagai cadangan.

“Namun kita akan lihat semula, tetapi tagline lain seperti Relaks@Melaka juga relevan digunakan. Kita akan lancarkan tagline baharu selepas keputusan sebulat suara ditentukan yang dijadualkan melepasi bulan Julai nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3861
Kongsi :
Previous post Unit IPT perkasa hubungan universiti dan Kerajaan Negeri
Next post Majlis Apresiasi SK Ujong Pasir iktiraf kejayaan murid
Ubah saiz-+=