Unit IPT perkasa hubungan universiti dan Kerajaan Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 18 Februari – Unit Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan ditubuhkan mampu memperkasa dan menambah baik hubungan dua hala antara IPT bersama Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, unit berkenaan berfungsi sebagai satu jawatankuasa bertanggungjawab menyelaraskan dan menjaga hubungan dengan semua IPT awam atau swasta di Negeri Melaka.

“Setakat ini ada hampir 45 institusi pengajian tinggi awam dan swasta beroperasi di Negeri Melaka, berikutan itu perlu ada satu unit khas untuk penyelarasan program dan hubungan dengan pelajar.

“Perkara ini perlu diperkasakan sebab dalam keadaan sosiopolitik semasa perlu ada unit bertanggungjawab dalam perihal pelajar IPT.

“Unit ini akan diselaraskan di bawah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang mana kita tahu badan ini banyak menjaga hal ehwal tentang tabung pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas hadir menyampaikan sesi perbentangan dalam flagship ketujuh dalam iaitu Kluster Pendidikan dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 menerusi Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka 2013 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, menerusi portfolio yang dipertanggungjawabkan itu, beliau turut meletakkan satu sasaran baharu bagi memastikan inisiatif Smart Melaka dapat direalisasikan di negeri ini.

Jelasnya, rancangan menubuhkan satu entiti khas sama ada dalam bentuk perbadanan atau anak syarikat Kerajaan Negeri baharu untuk menyelaras pelaksanaan inisiaitf Smart Melaka sedang direncanakan.

“Smart Melaka Blueprint 2035 yang telah disiapkan menjadi panduan kepada PSMJ2035, jadi kita memerlukan satu agensi pelaksana bagi memastikan hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

996
Kongsi :
Previous post Wan Hasnul Daniel impi jadi pemain golf profesional
Next post TMM2024 sasar 18.7 juta kemasukan pelancong
Ubah saiz-+=