Sorting by

×

Wan Hasnul Daniel impi jadi pemain golf profesional

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 18 Februari – Dia sedar mahu menjadi seorang pemain golf profesional bukan perkara mudah, namun pemain golf remaja Wan Hasnul Daniel Wan Omar Zahdi, 18, yakin mampu menempatkan diri pada peringkat itu, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Juara Kejohanan Tertutup Remaja Malaysia 2022 itu berkata, tempoh itu diperlukannya kerana ketika ini dia perlu memberi fokus kepada persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Katanya, disebabkan mahu memberi laluan kepada SPM dia terpaksa menolak tawaran untuk beraksi di Indonesia yang diterima sebelum ini.

“Ini memang impian saya untuk menjadi pemain profesional, daripada amatur ke profesional memang bukan satu tugas yang mudah.

“Saya perlu siapkan diri bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi juga mental untuk bersaing dengan pemain lain. Malah saya juga perlu melepasi pusingan kelayakan Q-School Jelajah Asia.

“Tetapi kini perhatian saya adalah untuk menduduki SPM dahulu dan selepas itu fokus saya adalah menyertai kejohanan serta persiapkan diri bagi Sukan Malaysia (Sukma),” katanya yang turut menjadi juara Pertandingan ‘Sports Excel Malaysian Junior Premier Elite Golf Circut Grand Final 2022’.

Dia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecermelangan Golf Remaja Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.

photo1676697709
MUHAMAD Adif Haikal menunjukkan anugerah kecemerlangan yang diterimanya sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Golf Remaja Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) di Ayer Keroh Country Club (AKCC). Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, seorang lagi pemain golf remaja Muhammad Adif Haikal Md Hazan, 15, berkata, dia mensasarkan untuk menyertai lebih banyak kejohanan bagi mempersiapkan diri untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Walaupun perlu menunggu agak lama lagi untuk beralih ke peringkat profesional tetapi saya akan cuba persiapkan diri lebih awal dengan menyertai lebih banyak kejohanan.

“Malah saya juga akan pertingkatkan corak permainan untuk mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan di peringkat antarabangsa,” katanya yang juga Juara Tertutup Remaja Malaysia 2022 Kategori B.

Terdahulu pada majlis itu, Wan Hasnul Daniel menerima insentif berjumlah RM2, 140 manakala Muhammad Adif Haikal mendapat RM1,400 atas kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka.

PEMAIN Golf remaja, Wan Hasnul Daniel Wan Omar Zahdi, 18 menunjukkan anugerah kecemerlangan yang diterimanya sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Golf Remaja Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) di Ayer Keroh Country Club (AKCC). Foto Iqmal Haqim Rosman

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2337
Kongsi :
Previous post Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000
Next post Unit IPT perkasa hubungan universiti dan Kerajaan Negeri
Ubah saiz-+=