Malaysia akan tingkat pengeluaran minyak sawit tahun ini susulan pengambilan lebih ramai pekerja asing

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

NEW DELHI, 22 Feb – Malaysia akan meningkatkan pengeluaran minyak sawitnya tahun ini berikutan penurunan 5.0 peratus tahun lepas ekoran kekurangan tenaga kerja yang disebabkan pandemik dengan usaha pengambilan lebih ramai pekerja asing.

Beribu-ribu pekerja baharu bagi sektor perladangan akan diambil bekerja dari Bangladesh, India dan Indonesia untuk menampung kekurangan tenaga kerja ketika permintaan terhadap minyak sawit Malaysia terus meningkat.

“Malaysia akan dapat membekalkan lebih banyak minyak sawit (ke pasaran luar negara) apabila isu kekurangan tenaga kerja ini selesai ditangani. Kita merancang membawa masuk 32,000 lagi pekerja asing.

“Permohonan daripada majikan sedang diproses,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin kepada Bernama dalam satu temu bual, di sini, hari ini.

Zuraida tiba di India pada Ahad sempena lawatan rasmi selama empat hari untuk mempromosikan eksport pertanian.

Pengeluaran minyak sawit Malaysia susut kepada 18.1 juta tan metrik daripada 19.1 juta tan metrik pada 2020 apabila penutupan sempadan akibat penularan COVID-19 telah menjejaskan usaha pengambilan pekerja asing.

Semasa perbincangan pada Isnin dengan Menteri Negeri bagi Hal Ehwal Luar India V. Muraleedharan, Zuraida memaklumkan bahawa terdapat peningkatan permintaan terhadap pekerja asing dalam industri perladangan Malaysia.

“Mesyuarat saya (dengan Muraleedharan) adalah tentang melaksanakan perjanjian jangka panjang bagi bekalan buruh dalam sektor perladangan,” katanya.

Kedua-dua menteri itu membincangkan permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung perkara tersebut.

Pada masa yang sama, Malaysia mengusahakan penjenteraan dalam industri perladangan bagi mengurangkan pergantungannya kepada tenaga kerja asing.

Sebuah projek bernilai RM60 juta secara kerjasama dengan Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP) diluluskan tahun lepas untuk menyediakan penyelesaian automasi dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai perdagangan komoditi dengan India, Zuraida berkata terdapat skop bagi syarikat India dan Malaysia untuk menubuhkan usaha sama bagi produk hiliran berasaskan minyak sawit.

India membeli kira-kira 3.6 juta tan metrik minyak sawit tahun lepas yang merupakan peningkatan 31 peratus berbanding jumlah pada 2020.

Menurutnya, meskipun India dijangka membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia bagi menampung permintaan penggunaan domestiknya, syarikat dari kedua-dua negara boleh mempelbagaikan hubungan perdagangan menerusi kerjasama dalam teknologi dan produk baharu bagi pasaran serantau yang lebih meluas.

Sementara itu Zuraida mempelawa wakil daripada persatuan perdagangan dan syarikat India untuk menyertai Pameran dan Seminar Agri-Komoditi Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Jun dan meneroka bidang khusus projek perniagaan dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Dos penggalak mampu lawan gelombang Omicron – KP Kesihatan
Next post Kerajaan seru majikan tawar gaji minimum kepada pekerja – Saravanan
Ubah saiz-+=