Malaysia hampiri 80 peratus dewasa lengkap divaksin- DR Adham

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JOHOR BAHRU 19 Sept. – Kira-kira 1.8 peratus sahaja lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sehingga semalam, Malaysia telah merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Tumpuan ketika ini kepada negeri-negeri bagi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir September.

“Kadar liputan vaksinasi pada bulan ini juga lebih tinggi di beberapa negeri setelah usaha pemvaksinan ditumpukan kepada negeri-negeri yang sebelum ini masih mencatat kadar lebih rendah seperti Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin, di sini hari ini.

Dr. Adham (dua dari kanan) dan Ras Adiba (kanan) di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru Arena Larkin. Foto – Facebook MOSTI.

Turut mengiringi beliau Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dr Adham menjelaskan liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk menyasarkan kumpulan yang tercicir.

“Kadar vaksinasi (harian) negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang,” katanya.

Mengenai vaksinasi melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Adham berkata mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), seramai 517,447 atau 89.9 peratus daripada 575,564 OKU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 401,425 OKU telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus daripada jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi, katanya.

Katanya, PPV juga akan mula dibuka untuk orang ramai secara walk-in pandu lalu mulai esok sehingga 30 September.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post Bekas ADUN Kunak, Nilwan meninggal dunia kerana COVID-19
Next post Peruntukan RM471.6 juta pemberian PPC keluarga B40 – PM
Ubah saiz-+=