Malaysia Little League 2022 gilap bakat si cilik

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Oktober – Seramai 2,016 murid, pelajar dan pengawai pasukan terbabit dalam penganjuran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, liga anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bersama rakan strategik, Jabatan Pendidikan Negeri itu mampu menjadi medan untuk melahirkan bakat baharu bola sepak.

Katanya, pembabitan pemain bawah 16 dan 12 tahun secara tidak langsung membuka peluang meningkatkan daya saing dan semangat kompetitif dalam kalangan pasukan yang bertanding.

“Pertandingan ini adalah cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam pembangunan sukan bola sepak di Malaysia.

“Perlawanan dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri dengan melibatkan tujuh kawasan, namun kali ini terpaksa dihadkan kepada lapan pasukan sahaja bagi setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka di Stadium Hang Tuah, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah JBS Negeri Melaka Khairul Adri Rosli dan Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Mengulas lanjut, Shanmugam berharap penganjuran liga secara kompetitif itu berupaya melahirkan bintang-bintang baharu yang bakal mewarnai arena bola sepak kelak.

“Kerjasama erat sebegini pasti akan mengubah landskap sukan di Negeri Melaka kerana kita dapat melahirkan bakal jaguh dan permata bersinar dalam sukan bola sepak.

“Semoga kita dapat berjumpa dengan juara yang bakal mewakili Negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan nanti,” katanya.

Bersempena pelancaran itu turut berlangsung perlawanan persahabatan di antara Akademi Tunas Wanita dan KR Football Academy, menyaksikan Akademi Tunas Wanita memang dengan jaringan 1-0.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2550
Kongsi :
Previous post Maulidur Rasul: 1.9 juta kenderaan dijangka lalu lebuh raya PLUS
Next post Siti Faizah mahu popularkan Sungai Rambai
Ubah saiz-+=