Siti Faizah mahu popularkan Sungai Rambai

Masa Membaca:4 Minit, 41 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Oktober – Menaik taraf pembangunan infrastruktur serta mempopularkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, itu hasrat Siti Faizah Abd. Azis bagi tempoh lima tahun ini.

Selepas diberikan mandat memimpin DUN tersebut, beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai berjanji untuk aktif merancakkan kawasan itu supaya terus dikenali ramai.

Katanya, memandangkan Sungai Rambai adalah pintu masuk antara Negeri Melaka dan Johor yang dikenali sebagai ‘Gerbang Selatan’, maka usaha untuk mengindahkan DUN itu perlu dilaksanakan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 75 projek menaik taraf infrastruktur di Sungai Rambai telah dilaksanakan yang mana khususnya melibatkan kawasan-kawasan yang berisiko banjir.

“Alhamdulillah banyak infrastruktur dalam DUN Sungai Rambai sudah dinaik taraf termasuklah longkang, jalan raya dan sistem perparitan yang dah lama tidak diselenggarakan.

“Ini salah satu janji saya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, alhamdulillah kita sudah laksanakan kira-kira 75 projek dan ada yang dalam perancangan.

“Salah satu saya fokuskan adalah kawasan risiko tinggi banjir, alhamdulillah kita mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya.

“Antara kerja membaik pulih itu termasuklah menyelenggara semula sistem perparitan, menaik taraf longkang serta jalan-jalan kampung yang sudah rosak,” katanya.

ss
KERJA-kerja membina ban di Kampung Parit Putat bagi mengelakkan hakisan tanah apabila banjir.

‘MINI CRUISE’ GERBANG SELATAN

Menjadi ‘Gerbang Selatan’ antara Negeri Johor, fokus utama Siti Faizah juga adalah memastikan produk pelancongan khususnya di Laman Belia Sungai Rambai dinaiktaraf menjadi kawasan tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, antara usaha itu termasuklah perancangan bagi mewujudkan ‘mini cruise’ melibatkan aktiviti air dengan kerjasama bahagian pelancongan Melaka dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

“Saya rancang untuk menaik taraf Laman Belia Sungai Rambai, sini adalah tempat tumpuan pengunjung dalam Melaka mahupun Johor sebab kita adalah negeri sempadan, apabila hujung minggu atau cuti am kawasan ini memang ramai orang.

“Selain menaik taraf sistem sungai di situ, saya mahu konsepnya lebih kepada tempat orang beriadah, kita akan laksanakan dengan kerjsama pelancongan dan juga majlis daerah, mungkin selepas ini akan ada ‘mini cruise’ dan ‘mini theme park’ sebagai tarikan baharu.

“Ini juga hasrat kerajaan negeri untuk menarik kedatangan pelancong di Sungai Rambai, selepas ini juga akan ada ativiti, cuma pelaksanaannya mengambil masa sedikit,” katanya.

4
LAMPU keselamatan yang dipasang di setiap sekolah bagi menjamin keselamatan anak-anak.

LAMPU KESELAMATAN DI SETIAP SEKOLAH

Bagi memastikan keselamatan anak-anak yang pulang dari sekolah terjamin, Siti Faizah mengambil inisiatif dengan memasang lampu keselamatan di hadapan setiap sekolah rendah dan menengah di DUN Sungai Rambai.

“Daripada segi pendidikan tiada masalah, cumanya kita naik taraf infrastruktur sekolah rendah dan menengah di DUN ini dengan meletakkan lampu keselamatan di hadapan sekolah.

“Ini untuk memudahkan anak-anak atau pelajar sekolah melintas jalan semasa balik sekolah, jadi kenderaan yang lalu lalang dari jauh pun boleh ‘alert’ apabila nampak lampu tersebut.

“Di Sungai Rambai sahaja kita ada 25 taman perumahan, jadi kawasan di DUN ini agak sesak disebabkan kepadatan penduduk yang semakin bertambah termasuklah di kampung.

“Kita ada enam sekolah rendah dan satu sekolah menengah, setakat ini hampir kesemuanya telah dipasangkan lampu keselamatan, peruntukan diberikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan saya hanya memohon,” katanya.

NAIK TARAF JETI NELAYAN

Menurut Siti Faizah bagi memastikan nasib golongan nelayan di DUN Sungai Rambai terbela, pihaknya berusaha menaik taraf tiga jeti di Sungai Rambai yang mendapat peruntukan daripada pihak kementerian.

“Di Sungai Rambai kita ada tiga jeti nelayan iaitu Jeti Kuala Sebatu, Air Tawar dan Pengkalan Lambak yang sudah dinaiktaraf bagi memudahkan urusan golongan nelayan mencari rezeki harian mereka.

“Untuk Jeti Kuala Sebatu kita dapat peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja menaik taraf, Air Tawar peruntukan sebanyak RM350,000, dan Pengkalan Lambak kira-kira sebanyak RM65,000.

“Antara usaha kita lakukan sepertu menyelenggara tempat meletak bot nelayan, jeti-jeti yang sudah uzur, dewan serbaguna dan lain-lain.

“Setakat ini nelayan yang berdaftar bagi kawasan Air Tawar seramai 17 orang, Pengkalan Lambak 14 orang dan Kuala Sebatu seramai 69 orang,” katanya.

3
KERJA-kerja membuat saliran longkang bagi memudahkan sistem aliran air.

HOMESTAY DI KAWASAN SAWAH

Selain itu, bagi merancakkan sektor pelancongan Melaka, Siti Faizah dalam usaha untuk membangunkan semula kawasan D’Bendang parit penghulu Sungai Rambai.

“Bagi usaha ini saya fokuskan untuk membina beberapa inap desa (homestay) bagi tujuan menarik pelancong merasai suasana berada di kampung yang mempunyai sawah padi.

“Dahulu kita ada warung D’Bendang tapi sudah lama terbiar, jadi kita nak naikkan semula kawasan ini dengan membina beberapa ‘homestay’ berdekatan sawah padi, kawasan ini kita anggarkan seluas tiga ekar sahaja.

“Bila hujung minggu memang ramai pengunjung datang kawasan ini, malah saya sendiri pun lebih gemar berjoging di sini pada hujung minggu untuk merasai suasana di sawah padi.

“Lebih banyak homestay dibina lebih bagus sebab pengunjung lebih sukakan suasana kampung, bila ianya sudah dibina kita akan jadikan juga kawasan itu sebagai tempat rekreasi, ada aktiviti kayuh basikal dan sebagainya,” katanya lagi.

1
SITI Faizah

BIODATA

Nama: Siti Faizah Abdul Azis
Umur: 47

Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai (2021 – kini)
– Usahawan

Pendidikan:-
– Diploma Kesetiausahaan

Politik:-
– AJK UMNO Bahagian Jasin (2014 – kini)
– Naib Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka (1994 – 2013)
– Ketua Puteri Bahagian Jasin (1994 – 2013)

 

INFO DUN SUNGAI RAMBAI

Jumlah penduduk : 45,000

Kampung : 43
Taman Perumahan : 20

Rumah Ibadat:-
Masjid: 8
Surau: 21
Tokong: 2
Kuil: 1
Gereja: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan : 6
Sekolah Menengah : 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina : 2
Sekolah Rendah Agama JAIM : 6

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4155
Kongsi :
Previous post Malaysia Little League 2022 gilap bakat si cilik
Next post Agong lawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara
Ubah saiz-+=