Malaysia mampu hasilkan filem bertaraf antarabangsa

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Para penerbit, pelakon dan pengarah filem Malaysia mampu mengeluarkan filem-filem terbaik bertaraf antarabangsa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata sebelum pandemik COVID-19, industri kreatif bukanlah satu industri yang kecil apabila mengikut pasaran antarabangsa Amerika Syarikat, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-19 pasaran terbesar daripada filem-filem yang dicipta negara.

“Kalau satu filem sahaja telah dapat menjana pendapatan hampir RM100 juta, sedangkan kita tahu berapa puluh lagi filem sedang menanti yang akan kita keluarkan dan akan kita keluarkan dengan mutu dan nilai yang baik, yang akan melonjak ekonomi dan industri perfileman kita.

“Yang saya tahu, penerbit-penerbit Malaysia, pelakon-pelakon Malaysia, pengarah-pengarah filem Malaysia, mampu mengeluarkan filem-filem terbaik bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Ekspresi@Finas di sini hari ini.

Majlis penutup berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sementara itu, Annuar berkata sejak Ismail Sabri mengambil alih kepimpinan negara, politik berjaya distabilkan, COVID-19 berjaya diatasi serta ekonomi mula tumbuh dan berkembang selain diiktiraf badan-badan penarafan antarabangsa.

Beliau berkata Perdana Menteri berjaya menjalinkan semula hubungan diplomatik dengan negara berkaitan dan kemuncak kepada kejayaan Ismail Sabri, apabila kerajaan di bawah pimpinan beliau membentangkan belanjawan untuk rakyat yang menyentuh segenap lapisan masyarakat.

“Apabila terhidu sedikit tanda-tanda mungkin berlaku tak stabil (kerajaan) Yang Amat Berhormat telah mengembalikan mandat kepada rakyat dan membubarkan Parlimen.

“Ini bermakna ke hadapan, Yang Amat Berhormat mempunyai satu iltizam yang tinggi yang perlu dibereskan. Anggaplah tempoh dua tiga minggu ini hanya satu perhentian sementara, negara ini perlu terus diselamatkan, industri kreatif yang baru disuntik dengan satu nafas yang baru perlu terus disegarkan,” katanya.

Annuar berkata sekiranya Bajet 2023 dapat dibentangkan semula di bawah kepimpinan Ismail Sabri, beliau yakin akan ada lagi berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri untuk industri kreatif.

“Ini adalah kerana kita terus mendapat maklum balas daripada pemain industri dan juga dari pengalaman-pengalaman yang kita lalui.

“Pengalaman saya berkhidmat sebagai anggota jemaah menteri di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya tahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berfikiran sangat simple tetapi cerdas dan cepat dalam membuat keputusan dan ini telah memudahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuat pelbagai aktiviti di bawah inisiatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2319
Kongsi :
Previous post MIC Melaka akan pastikan kemenangan BN
Next post Remaja lemas di Tasik Tiga Beradik
Ubah saiz-+=