Malaysia terima 600,000 dos pertama vaksin AstraZeneca pada Jun

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PUTRAJAYA 31 Mac – Malaysia akan menerima 600,000 dos pertama vaksin AstraZeneca pada Jun, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata beliau menerima jadual penghantaran itu daripada AstraZeneca Malaysia hari ini dan vaksin terbabit adalah dari kilang pembuatan kontrak AstraZeneca di Thailand.

“Saya mempunyai pengesahan bahawa penghantaran vaksin AstraZeneca itu adalah daripada AstraZeneca berbanding menerusi COVAX, ini adalah pemerolehan langsung,” katanya kepada media selepas melancarkan kerjasama korporat bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini.

Ditanya jika larangan eksport vaksin India akan menjejaskan penghantaran AstraZeneca melalui COVAX ke Malaysia, Khairy berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana bekalan AstraZeneca kepada Malaysia adalah dari kemudahan COVAX yang datangnya dari pengeluar SK Bioscience di Korea Selatan dan bukan dari Institut Serum India (SII).

“Setakat yang saya tahu, perkara itu tidak akan menjejaskan kita melainkan jika terdapat rantaian bekalan yang perlu kita teliti,” katanya.

Dilaporkan bahawa India telah menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi suntikan koronavirus AstraZeneca yang dihasilkan SII untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan dalam jangkitan virus itu.

Langkah itu seperti yang dilaporkan akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaskin COVAX yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing.

Mengenai laporan bahawa beberapa penduduk di Bangi agak keberatan mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 kerana mereka tidak dapat memilih jenis vaksin dan bimbang dengan kesan adversnya, Khairy berkata pendekatan tunggu dan lihat akan dapat diatasi selepas lebih ramai orang diberikan vaksin bagi menunjukkan bahawa vaksin adalah selamat serta berkesan.

“Mereka yang agak keberatan akan lebih bersedia untuk tampil mendaftar dan menerima vaksin selepas terdapat demonstrasi yang jelas,” katanya.

Beliau berkata lebih ramai sukarelawan akan dilatih di bawah Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) jadi mereka memiliki data dan maklumat bagi menjelaskan kepada umum mengenai keselamatan vaksin itu.

“Jadi buat masa ini, saya tidak fikir kita harus memaksa atau mempunyai tarikh akhir, kita hendaklah meneruskan libat urus dan komunikasi dengan orang ramai,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post PR1MA kaji semula 20 projek yang ditamatkan- Shahidan
Next post Penyertaan sektor korporat bantu rancakkan usaha PICK
Ubah saiz-+=