PR1MA kaji semula 20 projek yang ditamatkan- Shahidan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR 31 Mac – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan mengkaji semula potensi kira-kira 20 projek di bawah perbadanan itu yang telah atau akan ditamatkan agar boleh dibangunkan berdasarkan konsep bersesuaian dengan keperluan semasa.

Pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, inisiatif itu dirancang untuk merancakkan sektor pembinaan dan pasaran perumahan.

“Pada 2019, PR1MA telah melalui proses rasionalisasi sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi PR1MA.

“Hasil proses ini, daripada 94 projek yang telah ditandatangani perjanjian, 32 projek telah atau akan ditamatkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

PROJEK rumah PR1MA di Melaka Tengah 2 yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.

 

Beliau memaklumkan setakat 31 Mac, PR1MA mempunyai 62 projek bernilai kira-kira RM14 bilion yang sedang dijalankan di seluruh negara.

Shahidan berkata sebanyak 20,587 unit siap dibina, 24,756 unit dalam pembinaan manakala 7,420 unit masih dalam perancangan.

Beliau menjelaskan PR1MA juga akan memberikan perhatian khusus terhadap projek yang sedang dalam pembangunan namun mengalami kelewatan seperti Residensi Tebrau dan Melaka Tengah 2.

Katanya projek Residensi Tebrau kini dalam proses memberikan milikan kosong dan akan diserah selewat-lewatnya pada 30 April ini manakala projek Melaka Tengah 2 pula dalam proses melantik kontraktor penyelamat.

Shahidan juga berkata PR1MA terus mencari kaedah penyelesaian untuk membantu golongan sasaran memiliki rumah khususnya dalam tempoh ekonomi yang mencabar termasuk melalui pengenalan Skim Rent To Own.

Beliau berkata PR1MA kini memperhalusi terma serta mekanisma pelaksanaan skim itu sebagaimana yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 dan ia dijangka dilancarkan pada Jun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1166
Kongsi :
Previous post Pegawai farmasi rugi lebih RM57,000 dalam pelaburan tidak wujud
Next post Malaysia terima 600,000 dos pertama vaksin AstraZeneca pada Jun
Ubah saiz-+=