Manifestasi kasih sayang Melaka kepada Agong, Raja Permaisuri

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 2 November – Kerajaan Negeri Melaka menyanjung tinggi kebijaksanaan dan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai seorang Raja sepanjang pemerintahan Baginda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hal itu boleh dilihat menerusi kebijaksanaan Baginda dalam menyelesaikan banyak perihal membabitkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, Festival Warisan dan Pelancongan, Lintasan Budaya Melaka-Pahang Tahun 2023 diadakan sebagai manifestasi penghargaan yang setulusnya dan kasih sayang yang sedalamnya daripada rakyat jelata Negeri Melaka terhadap Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri yang telah mencemar duli sebanyak tiga kali ke Negeri Melaka.

“Festival ini merupakan program silang budaya kedua-dua negeri sempena Program Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda.

“Ia juga tanda penghargaan dan lambang kasih sayang rakyat negeri Melaka terhadap Baginda yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada Januari tahun hadapan.

“Baginda Tuanku juga bukan sahaja dikenali sebagai seorang Raja yang sangat berjiwa rakyat, malah prihatin dalam memayungi usaha-usaha kebajikan dan kesejahteraan terhadap seluruh rakyat jelata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 di Muzium Kesultanan Melayu Melaka di sini, malam tadi.

Festival itu diserkan dengan kehadiran pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat tiba pada jam 8.45 malam.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas mengenai festival itu, Ab Rauf berkata, ia wajar diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasa hubungan sejarah yang terjalin antara negeri Melaka dan Pahang.

“Hal ini bagi memastikan kesinambungan hubungan sejarah, seni, budaya dan warisan di antara kedua-dua buah negeri terus kekal terpelihara.

“Tidak terkecuali Melaka juga bertuah kerana mempunyai hubungan istimewa bersama negeri Pahang apabila Sultan Melaka pada ketika itu, iaitu Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Tun Teja, seorang puteri rupawan yang juga puteri tunggal Bendahara Pahang pada masa itu,” katanya.

Festival berkenaan diisi dengan pelbagai pengisian, antaranya, pameran dan jualan produk warisan Melaka dan Pahang, demostrasi permainan tradisional, persembahan kebudayaan Melaka dan Pahang serta banyak lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1529
Kongsi :
Previous post Tengku Hassanal berangkat tiba ke Festival Warisan Pelancongan Melaka-Pahang 2023
Next post Penyatuan kekayaan warisan budaya Pahang-Melaka
Ubah saiz-+=