MAPEX realisasi impian miliki rumah
PENGKALAN BATU 22 Julai – Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2023 bukan sahaja membantu merealisasikan impian rakyat memiliki kediaman, sebaliknya menyediakan platform kepada pemaju mempromosikan pelbagai hartanah dibawah satu bumbung.
Pengerusi Penganjur MAPEX 2023, Datuk Ngoh Chun How berkata, ekspo dianjurkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sejak 1999 itu juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.
“Rumah bukan hanya tempat tinggal tetapi pelaburan jangka panjang dapat memberikan pulangan berbaloi. Justeru pameran ini sememangnya merupakan platform ideal untuk bakal pembeli berjumpa pemaju, pembiaya dan pakar hartanah.
“Pelbagai jenis hartanah termasuk komersial kami kumpul bawah satu bumbung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) 2023 Negeri Melaka di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.
Perasmian ekspo itu disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Zulkifli Mohd Zin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka Datuk Ng Choon Koon; Penganjur MAPEX Datuk Ngoh Chun How; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Mohd Salleh Hamidom serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurutnya, hartanah ditawarkan kepada pada pameran itu dijamin selamat dan bukan dikategorikan sebagai projek terbengkalai kerana dimajukan oleh ahli REHDA yang berlesen.
“Paling utama, hartanah ditawarkan adalah daripada pemaju terkemuka mempunyai Lesen Pemaju dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.