Masalah air pasang besar dan ribut diatasi

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 6 Dis – Selepas beberapa tahun terpaksa bergelut dengan masalah air pasang besar masuk ke dalam warung, peniaga di pantai Kampung Pasir Gembor, Nor Idira Rafi, 22, tidak lagi bimbang mengenainya.

Ia berikutan kerja pembinaan tembok penahan ombak kira-kira dua meter dari warungnya yang hampir siap sepenuhnya.

Nor Idira berkata, kerja berkenaan yang dilaksanakan sejak tiga bulan lalu amat melegakannya kerana kebarangkalian untuk air pasang besar masuk ke dalam warung seperti sebelum ini sudah dapat diatasi.

“Saya yakin tembok penahan ombak itu mampu menghalang air pasang besar masuk ke warung, terutama di bahagian dapur, selain menghalang ombak besar memukul dinding warung.

“Sebelum ini, setiap kali air pasang besar, kadang kala warung dimasuki air laut dan keadaan bertambah membimbangkan apabila tiba musim ribut yang menyebabkan hakisan pantai mengancam struktur warung,” katanya ketika ditemui di warung berkenaan hari ini.

Sehubungan itu, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menjalankan kerja pembaikan pantai, terutama di kawasan membabitkan warungnya dan Pangkalan Nelayan Kampung Pasir Gembor yang berhampiran warungnya.

NOR Idira memerhatikan kerja pembinaan tembok penahan ombak berhampiran warungnya di pantai Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dekat Masjid Tanah.
Foto Din Ahmad

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, keseluruhan kerja pembaikan pantai di kampung berkenaan membabitkan kos RM4.28 juta.

“Kontraktor yang dilantik menjalankan kerja menaik taraf tembok pemecah ombak sedia ada dan membina penyambungan baru sepanjang 53 meter.

“Selain itu, kontraktor juga menaik taraf tembok pemecah ombak sedia ada yang kedua dengan membuat penyambungan sepanjang 76 meter,” katanya.

Beliau berkata, kontraktor turut melaksanakan kerja penambakan pasir atau ‘beach nourishment’ di kawasan berkenaan.

Kerja lain ialah membaik pulih lapis lindung batu atau ‘rock revetment’ sepanjang 315 meter, pemasangan longkang dan saluran paip ‘HDPE’ ke laut, kerja pembaikan saluran keluar ke laut di pesisir pantai Samudera Beach Resort dan kerja menggali muara sungai Ayer Hitam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1625
Kongsi :
Previous post DAP Sarawak sangkal PKR terima ‘sisa’ kerusi pada PRN Sarawak
Next post PDRM tubuh unit siasatan jenayah kematian dalam tahanan – Hamzah
Ubah saiz-+=