DAP Sarawak sangkal PKR terima ‘sisa’ kerusi pada PRN Sarawak

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUCHING 6 Dis – Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen menyangkal dakwaan Presiden PKR Datuk seri Anwar bahawa parti pimpinannya cuma menerima sisa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Dis ini.

Brcakap kepada pemberita selepas penamaan calon selesai bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan hari ini, Chong, bagaimanapun mengakui bahawa terdapat pihak tertentu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati semasa rundingan peruntukan kerusi bagi pilihan raya negeri ini.

“Saya fikir itulah yang kita panggil rundingan. Pada penghujungnya, anda tidak boleh menggembirakan semua pihak. Terdapat kerusi yang boleh menang dan kerusi yang lebih sukar. Ada yang kita kategorikan sebagai kerusi putih, kelabu dan hitam. Kami juga bersaing dalam beberapa kerusi hitam.

“Saya tidak fikir itu akan menjadi masalah dan penghalang untuk kerjasama antara parti-parti PH,” kata pengerusi PH Sarawak itu

Minggu lepas, Anwar, yang juga pengerusi PH, berkata partinya dilabelkan ‘tamak’ sedangkan ia cuma menerima sisa kerusi Sarawak ketika sedang dibahagikan.

Katanya, PKR hanya diberikan kerusi tidak boleh dimenangi yang tidak diinginkan oleh orang lain.

Mengenai pencalonannya untuk kerusi DUN Padungan, Chong berkata beliau kini akan menyerahkan nasibnya kepada pengundi.

“Saya akan memberi dan menunjukkan yang terbaik kepada mereka dalam jangka masa sehingga hari pengundian,” kata Ahli Parlimen Stampin itu.

Chong telah beralih ke Padungan daripada kerusi DUN Kota Sentosa yang disandangnya sejak 2006.

Pada PRN Sarawak ke-12 ini, kerusi DUN Padungan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
– BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak: Seorang calon di Semop cemas, hampir tidak dapat bertanding
Next post Masalah air pasang besar dan ribut diatasi
Ubah saiz-+=