PRN Sarawak: Seorang calon di Semop cemas, hampir tidak dapat bertanding

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BINTANGOR, 6 Dis – Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Jenny Wong Khing Ling berdepan dengan detik cemas apabila terlupa membawa pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkannya memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC).

Kegagalan beliau menunjukkan pas berkenaan menyebabkan calon wanita tunggal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop itu tidak dibenarkan masuk ke Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong yang dijadikan sebagai pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), pada 18 Dis.

Bagaimanapun Jenny bernasib baik apabila sempat bergegas pulang ke rumah untuk mengambil pas itu, dan akhirnya berjaya memasuki dewan 15 minit sebelum tempoh proses pencalonan tamat pada 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Perebutan kerusi DUN Semop pada pilihan raya negeri kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Datuk Abdullah Saidol daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempertahankan kerusi DUN Semop untuk penggal ketiga, dicabar oleh Jenny, Abdul Raafidin Majidi (PSB), Mohamad Fadillah Sabali (Amanah) dan Mohd Adenan Zulkepli (bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semop Badjuri Bidin mengumumkan nama senarai calon yang akan bertanding sejurus selepas proses penamaan calon tamat.

Hujan lebat sejak awal pagi tidak menghalang calon-calon untuk berada awal di PPC bagi menyerahkan borang pencalonan.

Mohamad Fadillah merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan sejurus proses penamaan bermula pada 9 pagi, diikuti Abdullah, Mohd Adenan, Abdul Raafidin dan Jenny.

PRN11 pada tahun 2016 menyaksikan Abdullah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional-Parti Pesaka Bumiputera (PBB) memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,412 undi dalam pertandingan satu lawan satu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post Vaksinasi remaja: Malaysia catat pencapaian penting
Next post DAP Sarawak sangkal PKR terima ‘sisa’ kerusi pada PRN Sarawak
Ubah saiz-+=