Vaksinasi remaja: Malaysia catat pencapaian penting

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Malaysia mencatatkan pencapaian penting hari ini apabila 90 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kami telah mencapai kejayaan penting hari ini dengan 90 peratus daripada populasi berumur 12-17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19. Bagi warga emas, sila dapatkan segera dos penggalak anda kerana ia telah tersedia,“ katanya dalam catatan di Twitter beliau hari ini.

CATATAN Twitter Khairy hari ini

Sebanyak 2,830,449 individu atau 90 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima satu dos vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman COVIDNOW, 86.5 peratus atau 2,721,784 daripada populasi remaja pula lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bagi populasi dewasa, sebanyak 22,722,055 individu atau 97.1 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,049,440 atau 98.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sementara itu, bagi vaksinasi harian, sebanyak 54,517 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 1,713 dos pertama, 2,605 dos lengkap serta 50,199 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 54,091,375 dos.

Sementara itu, dalam catatan berasingan, Khairy memaklumkan nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia kini telah menghampiri 1.0 semula dan mengingatkan orang ramai untuk meningkatkan langkah pencegahan dan sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu ‘Test, Report, Inform, Isolate dan Seek’.

“Rt menghampiri 1 semula. Dua minggu lepas bila (Rt) melepasi 1, kita semua telah mainkan peranan untuk menurunkan balik angka Rt. Yakin kita boleh. (Pakai) pelitup, (jaga) jarak, elak (tempat) sesak, (ambil) dos penggalak, jaga ibu bapa dan (amalkan) #TRIIS,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak berlangsung hari ini
Next post PRN Sarawak: Seorang calon di Semop cemas, hampir tidak dapat bertanding
Ubah saiz-+=