Masalah brek punca lori simen langgar empat kenderaan di Lebuh SPA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SUNGAI UDANG 20 Julai – Masalah sistem brek menjadi punca sebuah lori simen melanggar empat buah kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi itu, dua individu cedera di muka dan beberapa bahagian badan.

Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan yang datang dari arah Cheng menghala ke Sungai Udang gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori dan seterusnya merempuh tiga lagi kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan pada waktu itu sedang berhenti di lampu isyarat, namun lori berkenaan yang datang dari arah Cheng menuju ke Sungai Udang gagal mengawal kenderaan dan terdapat masalah sistem brek sebelum merempuh dua lagi lori dan dua buah kereta di hadapan.

“Akibat rempuhan itu, dua orang mengalami kecederaan di muka dan beberapa bahagian badan, manakala pemandu lori simen tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut mendapati jalan lurus dua lorong, satu hala dan keadaan cuaca baik di lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian tampil memberi keterangan.

Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1751
Kongsi :
Previous post MMU kekalkan yuran istimewa, bantu ringan beban ibu bapa dan pelajar
Next post Saksi nafi Bella jadi mangsa amang seksual sebelum dijaga Siti Bainun
Ubah saiz-+=