MMU kekalkan yuran istimewa, bantu ringan beban ibu bapa dan pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 20 Julai – Universiti Multimedia (MMU), mengambil inisiatif untuk terus mengekalkan kadar yuran istimewa bagi program Asasi dan pelepasan yuran kemasukan baharu bagi pengambilan Julai 2022.

Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd. Su’ud berkata, harga istimewa itu mula diperkenalkan pada tahun lalu bagi meringankan beban ibu bapa dalam situasi pandemik, dan kini kadarnya dikekalkan walaupun negara berada di fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata, memandangkan isu kewangan menjadi antara kebimbangan pelajar dan ibu bapa pada waktu ini, justeru MMU mengambil inisiatif ini dengan mengurangkan yuran pengajian Asasi bagi memastikan semua bakal pelajar yang layak dapat melanjutkan pelajaran untuk mencapai cita-cita cemerlang pada masa depan.

“Ini juga sebagai usaha MMU untuk meringankan beban kewangan ibu bapa bagi menyediakan pendidikan tinggi terbaik buat anak-anak mereka.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen universiti untuk melahirkan lebih ramai bakat digital masa depan yang memiliki pengetahuan dan kemahiran yang relevan menerusi program dan sukatan pelajaran di MMU,” katanya.

Tambahnya, harga istimewa itu adalah antara peluang terbaik yang ditawarkan pada Hari Terbuka MMU pada 23 dan 24 Julai 2022 di MMU Land di Kampus Melaka.

Yuran khas RM6,000 setiap pelajar yang layak adalah untuk semua program Asasi kecuali program Undang-undang.

Pada masa yang sama, pengecualian yuran kemasukan juga layak bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program Diploma.

Untuk rekod, MMU ditubuhkan pada tahun 1997 dan mempunyai dua kampus utama iaitu Cyberjaya dan Melaka, yang menawarkan program asasi, prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang Teknologi Maklumat dan Sains Komputer, Multimedia Kreatif dan Seni Sinematik, Perniagaan dan Pengurusan, Kejuruteraan, Komunikasi Strategik, dan Undang-undang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2058
Kongsi :
Previous post Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis
Next post Masalah brek punca lori simen langgar empat kenderaan di Lebuh SPA
Ubah saiz-+=