Masih ada roti john ‘Rahmah’ RM5..

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PERINGGIT 25 Mac – Sedang kebanyakan peniaga mula menjual roti john pada harga RM7 hingga RM12 di bazar Ramadan, namun berbeza bagi Muhammad Tarmizi Mohd Nasir, 40.

Peniaga Bazar Ramadan Peringgit itu nekad untuk menjual juadah ikonik berbuka puasa itu pada harga ‘Rahmah’ iaitu RM5 meskipun turut sama berdepan kenaikan kos bahan mentah.

Muhammad Tarmizi yang sudah berniaga lebih 20 tahun berkata, sejak awal mengikut orang tuanya berniaga, dia sudah terbiasa menjual roti john pada harga murah yang mana pada awalnya, hidangan dijual pada harga RM2.50.

Namun seiring peredaran zaman dan kenaikan harga barangan, dia terpaksa menaikkan harga jualan menjadi RM5 iaitu kenaikan RM1 berbanding tahun lalu.

“Tahun lepas saya masih kekalkan harga RM4 bagi roti john daging dan ayam ‘black paper’ tetapi tahun ini ia tidak dapat bertahan lagi.

“Ini disebabkan kenaikan harga barangan bukan sahaja membabitkan ayam serta daging tetapi juga telur membuatkan saya terpaksa naikkan bagi menampung kos.

“Bagi saya harga RM5 itu pun agak tinggi tapi setakat ini rata-rata pelanggan masih berpuas hati kerana menganggap harga kami masih berpatutan,” katanya.

Menurutnya, dengan hanya menjual RM5 untuk satu set roti john ia secara tidak langsung dapat membantu mereka yang terkesan dan meringankan beban pembeli.

“Untuk saya berniaga di bulan puasa ini, seperti ada sedikit bahagian kita yang punya dan sedikit lagi untuk orang, jadi ia bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, pengunjung pasar Ramadan itu, Bakar Sulaiman, 64, berkata, sebagai pembeli, dia lega apabila harga yang ditawarkan masih berpatutan selain mempunyai rasa yang enak.

“Sebagai pembeli sudah pasti kita akan tengok harga dulu dan di sini walaupun hanya berharga RM5 tetapi amat berbaloi serta mempunyai rasa yang sedap. Malah walaupun terpaksa beratur panjang, ia tidak menghampakan.

“Selain itu, dari pemerhatian saya untuk beberapa hari ini juga dapati harga ditawarkan di pasar Ramadan masih berpatutan cuma ada kenaikan untuk beberapa hidangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2754
Kongsi :
Previous post Siasat segera penemuan puluhan bangkai, rangka kucing dalam kondominium
Next post 12 lorong tambahan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan mula beroperasi
Ubah saiz-+=