12 lorong tambahan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan mula beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Kerja-kerja menambah 12 lorong tambahan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Lebuhraya Utara-Selatan kini sudah selesai dan telah mula beroperasi sejak 11 Mac lepas.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan perancangan asal, kerja-kerja penambahan lorong RFID itu dijadual siap pada pertengahan April ini, namun ia berjaya disiapkan lebih awal.

Lorong tambahan RFID berkenaan adalah di Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

“Saya diberi jaminan bahawa sistem RFID ini akan sentiasa dipastikan berada dalam keadaan yang terbaik, namun saya juga mengharapkan kerjasama daripada penggguna RFID di lebuh raya PLUS untuk sentiasa menggunakan Lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol.

“Pada masa yang sama juga pengguna hendaklah memastikan baki eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana berjaya melakukan kerja-kerja berkenaan lebih awal daripada yang dijadualkan sebelum ini.

Pada Januari lalu, Nanta telah mengumumkan penambahan 12 lorong RFID di beberapa plaza tol PLUS bagi mengatasi masalah kesesakan di lorong berkenaan yang telah banyak menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post Masih ada roti john ‘Rahmah’ RM5..
Next post Melaka benarkan tarawih tanpa pelitup muka – Mufti
Ubah saiz-+=