Sorting by

×

Masjid al Ehsan terima sumbangan van jenazah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 21 November – Lembaga Tabung Haji (TH) Melaka meneruskan komitmen membantu anak kariah di negeri ini dengan menyumbangkan van jenazah kepada Masjid al-Ehsan, Kampung Londang.

Sumbangan berkenaan membuktikan keprihatinan TH dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meringankan beban anak kariah Kampung Lodang dalam aspek pengurusan jenazah.

Van buatan China ‘Foton View C2’ bernilai lebih RM80,000 itu diserahkan Pengarah TH Melaka, Shahidan Taib kepada Pengerusi Masjid al-Ehsan, Datuk Abdul Mutallif Che Mat.

Shahidan berkata, selain sumbangan van jenazah pihaknya turut melaksanakan pelbagai lagi program termasuk berkaitan komuniti menerusi inisiatif CSR.

“Tahun lalu kami sumbangkan dua unit van jenazah kepada dua masjid di negeri ini. Kali ini kemudahan sama diserahkan kepada Masjid al-Ehsan bagi menggantikan van lama yang sudah uzur.

“Kami di TH membantu urusan anak kariah dalam jenazah, diharapkan kemudahan ini memberikan manfaat kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan van berkenaan di perkarangan Masjid al-Ehsan, di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Mutallif berkata, van jenazah sedia ada sudah terlalu uzur selain kos baik pulih yang tinggi membebankan kewangan masjid.

“Sebelum ini, kami tidak yakin untuk membawa jenazah keluar dari daerah Alor Gajah tetapi dengan adanya van baharu, insya-Allah kami lebih yakin untuk berbuat demikian.

“Urusan membawa jenazah dari hospital atau rumah si mati ke masjid sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang akan lebih meyakinkan berbanding dengan menggunakan van jenazah yang lama,” katanya.

Menurutnya, Kampung Londang mempunyai kira-kira 3,000 anak kariah yang menghuni kira-kira 600 rumah dengan kebanyakan mereka bekerja di sektor awam dan swasta selain pertanian serta perikanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1042
Kongsi :
Previous post Persiapan TMM2024 berjalan lancar
Next post Polis Melaka buka kertas siasatan wanita Kemboja didakwa hina Melayu
Ubah saiz-+=