Persiapan TMM2024 berjalan lancar

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 21 November – Kerja menaik taraf dan baik pulih infrastruktur di beberapa lokasi awam khususnya kawasan tumpuan pelancong akan disiapkan sebelum 15 Disember bagi memastikan persiapan menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berjalan lancar.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, setakat ini segala persiapan untuk menjayakan TMM2024 berjalan mengikut perancangan, malah Kerajaan Negeri sendiri sudah bersedia sepenuhnya.

“Sekarang ini kita sudah diperingkat (akhir) yang mana hanya untuk ‘touch up’ sahaja, begitu juga semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kini giat memastikan segala persiapan dilaksanakan mengikut perancangan.

“Walaupun berbaki kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum kita menyambut tahun baharu, tetapi sambutan untuk TMM2024 akan bermula pada 25 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 Dan Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024, di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Saari Basiron.

Menurut beliau, bagi memastikan sambutan TMM2024 berlangsung meriah dan mencapai sasaran 18.7 juta pengunjung ke Melaka, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin serta menekankan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

“Kerajaan Negeri telah merancang untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sepanjang TMM2024, semuanya untuk meraikan kedatangan pelancong ke Melaka.

“Sebanyak 76 acara dengan 30 acara pelancongan utama juga sudah disusun justeru itu imej Melaka adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post Pelajar kolej kemahiran cedera bergaduh
Next post Masjid al Ehsan terima sumbangan van jenazah
Ubah saiz-+=