Masjid, surau di Melaka perdengarkan bacaan Yasin mohon perlindungan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Semua masjid dan surau di negeri akan memperdengarkan bacaan Yasin bagi memohon perlindungan wabak COVID-19 yang kian meningkat serta kesejahteraan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, alunan bacaan itu akan diperdengarkan menerusi alat siar raya supaya Allah S.W.T mengurniakan perlindungan kepada rakyat di negeri ini dan Malaysia amnya daripada ancaman pandemik itu serta untuk  rakyat Palestin yang ditindas.

Katanya, arahan itu akan berkuat kuasa esok sehingga arahan terbaharu daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju supaya masjid dan surau di negeri ini memperdengarkan bacaan Yasin selepas solat Maghrib setiap hari.

“Bagi bacaan ayat suci al-Quran dan doa, akan diperdengarkan selepas waktu azan atau solat Subuh; Zuhur; Asar dan Isyak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bacaan Yasin, al-Quran dan doa boleh diperdengarkan menggunakan alat siar raya dengan kekuatan bunyi yang cukup untuk didengari serta diaminkan oleh anak-anak kariah kawasan masing-masing.

“Bagi tujuan tersebut, JAIM menyediakan fail audio rakaman doa keselamatan dan bacaan Yasin yang boleh dimuat turun menerusi laman web www.jaim.gov.my atau menerusi laman Facebook JAIM.

“Bagi alunan bacaan ayat suci al-Quran hendaklah diuruskan oleh jawatankuasa masjid dan surau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Bukan kompaun, sebaliknya notis peringatan
Next post COVID-19: 3 kematian membabitkan warga emas di Melaka
Ubah saiz-+=