Masjid, surau Melaka bantu tepis dakyah anti vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 28 Jun – Masjid dan surau di negeri ini antara institusi berperanan penting dalam menepis dakyah negatif dibawa oleh golongan anti vaksin di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu menunjukkan impak positif apabila kini makin ramai rakyat tidak lagi terpedaya berita palsu mengenai keburukan vaksin yang disebarkan golongan berkenaan.

Selain institusi agama, beliau berkata, pelbagai agensi dan jabatan turut memainkan peranan sama ada turun ke setiap pelosok negeri, bahkan melakukan hebahan bergerak dalam mempromosikan kepentingan vaksin bagi menangani COVID-19.

“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kita membuka semua masjid dan surau dengan kapasiti jemaah tertentu dan dari situlah setiap masjid berperanan menyampaikan maklumat tentang kepentingan vaksin.

“Penyampaian maklumat itu turut menyelitkan pengajaran daripada sirah nabi mengenai pendekatan yang perlu dilakukan ketika berlakunya wabak selain turut menerapkan kepercayaan bahawa setiap penyakit itu pasti mempunyai ubatnya dengan izin Allah.

“Alhamdulillah walaupun pada awal ramai yang ragu-ragu, namun dengan pelbagai pendekatan kita lakukan kini sudah ramai yang yakin dan percaya vaksin sangat penting untuk keluar daripada situasi (pandemik) yang berlaku sejak lebih setahun ini,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Justeru, Sulaiman menyeru kepada rakyat agar tidak lagi berkongsi berita palsu vaksin kerana ia bukan sahaja menghalang usaha kerajaan, bahkan turut merencatkan kesejahteraan ummah untuk kembali hidup secara normal.

“Sampai bila kita mahu hidup dalam suasana pandemik? Hanya dengan vaksinlah kita dapat jalani aktiviti harian seperti biasa.

“Sepanjang pandemik berlaku, ada mereka yang kehilangan kerja, begitu juga anak-anak terjejas pelajaran apabila sekolah ditutup, selain kita tidak dapat ke masjid untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan menunaikan umrah dan haji di Makkah.

“Jadi, saya merayu, berilah kerjasama untuk membantu anak-anak, keluarga, saudara-mara mendaftar vaksin dengan segera bagi membolehkan kita mencapai imuniti berkelompok seperti yang diharapkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Saya bukan individu hebat: Sulaiman
Next post PM umum pakej bantuan rakyat 5 petang ini
Ubah saiz-+=