Saya bukan individu hebat: Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 28 Jun – “Saya tidak sehebat mana. Jika ada kejayaan dicapai sepanjang saya mentadbir kerajaan, pada saya semua itu adalah kejayaan bersama,” kata Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang genap setahun menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac lalu.

Katanya, tanpa penglibatan semua pihak termasuk penjawat awam serta rakan strategik dari pihak pembangkang dan rakyat Melaka sendiri, mustahil beliau mampu menghadapi segala onak dan liku terutama tatkala negara berperang dengan pandemik COVID-19, selain krisis air ketika mula menjawat jawatan tersebut.

“Segala kejayaan bukan datang daripada saya seorang. Mana mungkin kehebatan itu datang secara tiba-tiba tanpa bantuan daripada mereka yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya.

“Kalaulah dianggap ada kejayaan diraih sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda, semua itu kejayaan bersama yang dibantu oleh penjawat awam negeri, begitu juga rakan strategik di pihak pembangkang dan rakyat Melaka sendiri yang banyak memberikan pandangan dan teguran membina.

“Begitu juga dengan pihak media yang sentiasa memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat dasar-dasar kerajaan negeri dan inisiatif yang dilakukan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini baru-baru ini.

Justeru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa teguh berdiri di belakang pentadbirannya, selain berharap segala direncanakan selepas ini dapat direalisasikan sekali gus menjadikan Melaka sebuah negeri maju jaya yang rakyatnya bahagia dan menggamit dunia bertepatan dengan slogan negeri yang diumumkan 1 Julai tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Helikopter TLDM lakukan pendaratan kecemasan di Lumut
Next post Masjid, surau Melaka bantu tepis dakyah anti vaksin
Ubah saiz-+=