Mati di Penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JOHOR BAHRU, 25 Julai – Polis Johor hari ini memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil siasatan nanti adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai termasuk ahli keluarga lelaki berkenaan supaya tidak bimbang dengan proses siasatan.

“Setiap kematian, kita buka kertas siasatan dan siasatan menjurus kepada elemen-elemen lain termasuk (sekiranya ada elemen) pembunuhan.

“Kalau tiada elemen lain, kematian itu akan diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, di sini hari ini.

Justeru, Kamarul Zaman menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai sama ada polis akan menjalankan siasatan menyeluruh susulan desakan ahli keluarga lelaki berkenaan semalam untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Pada 28 Jun lepas, Kim Shih Keat telah dijadualkan dibebaskan daripada penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada 22 Jun lepas.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim telahpun meninggal dunia.

Dalam satu sidang media semalam, ahli keluarga kepada Kim memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1985
Kongsi :
Previous post Iskandar Malaysia catat pelaburan komited RM13 bilion pada separuh pertama 2022
Next post Pasang alat amaran banjir di Kampung Pulau Nibong
Ubah saiz-+=