Sorting by

×

MATTA Melaka jalin kerjasama dengan tujuh Persatuan Pelancongan Selatan Thailand

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

THAILAND 17 Februari – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka menjalinkan kerjasama dengan tujuh persatuan pelancongan dari lima wilayah Selatan Thailand.

Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin berkata, jalinan kerjasama itu bakal merancakkan lagi industri pelancongan di wilayah berkenaan dan Negeri Melaka.

Katanya menerusi kerjasama itu 11 ejen pelancongan tempatan akan mempromosikan produk pelancongan di Negeri Melaka ke wilayah di Selatan Thailand.

“Pada awalnya saya difahamkan kerjasama ini hanya membabitkan lima persatuan, namun pada saat akhir dua lagi juga mahu turut serta.

“Kesemua tujuh persatuan dari lima wilayah Selatan Thailand seperti Songkhla, Pathalong, Trang, Satun dan Krabi. Mereka ini mempunyai ratusan ahli dalam kalangan pemain industri pelancongan di negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Jalinan Kerjasama pada Program MATTA Travel Business Exchange (MTEX) di Hotel Buri Sriphu, Hat Yai – Songkhla, di sini, semalam.

Menurutnya jalinan kerjasama itu diharap mampu hasrat Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai pengunjung melawat Melaka sepanjang 2023.

“Kedudukan wilayah di Selatan Thailand juga berhampiran sempadan negara. Saya amat berharap usaha kami ini juga mampu membantu menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 nanti.

“Sepanjang Program MTEX kita juga memperkenalkan 20 produk pelancongan popular di Negeri Melaka seperti Menara Taming Sari dan Zoo Melaka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1508
Kongsi :
Previous post Melaka lancar Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria
Next post MATTA promosi Bukit Batu Lebah di Hat Yai
Ubah saiz-+=