Sorting by

×

Mayat mangsa bot karam Teluk Ramunia ditemukan di perairan Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA TINGGI, 23 Jan – Mayat lelaki dipercayai mangsa insiden bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang, di sini tiga hari lepas, ditemukan kira-kira lima batu nautika barat daya Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat itu, yang dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot itu terbalik.

“Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai, ia didapati mayat lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun, yang dipercayai salah seorang daripada tiga mangsa kejadian bot karam itu pada 20 Jan lepas.

“Operasi Mencari dan Menyelamat yang memasuki hari keempat diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi keluasan 54 batu nautika persegi, dan pencarian di pesisir pantai sepanjang 20 kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata operasi itu melibatkan seramai 76 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti maritim.

Dalam insiden pada 4.50 pagi Khamis lepas, sebuah bot kayu yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam, kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, dan lima wanita warga Indonesia ditemukan lemas manakala 19 orang terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, selamat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1007
Kongsi :
Previous post Keputusan bubar DUN Johor unilateral
Next post Pengantin baharu kongsi pentas konvokesyen di UniSZA
Ubah saiz-+=