Mayat tekong Indonesia bot terbalik ditemui di Tanjung Tuan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI, 13 Ogos – Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri dipercayai tekong bot terbalik ditemui terapung di peringkat perairan Tanjung Tuan di sini semalam.

Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pada jam 7.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan tempatan mengenai penemuan mayat berkenaan terapung di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, bot yang

sedang melaksanakan Op Carilamat digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pengecaman mayat daripada rakan mangsa yang selamat berdasarkan jam tangan dan pakaian terakhir yang dipakai mangsa, mangsa berkenaan adalah Kaharudin Kolah atau Pak Lang, 62 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi pencarian di perairan Kuala Sungai Baru, Melaka bagi mencari tekong warga Indonesia yang hilang.

Jelasnya, ia susulan bot yang dipandu lelaki terbabit secara agresif terbalik akibat pelanggaran dengan bot Maritim ketika cuba melarikan diri daripada diperiksa pada awal pagi Rabu lalu.

“Mayat dibawa ke jeti Maritim untuk diserahkan kepada pihak Polis seterusnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

  

“Hasil daripada penemuan mayat ini, Op Carilamat ditamatkan pada pukul 7.00 petang (semalam),” katanya.

Iskandar berkata Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan atas maklumat dan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pencarian ini.

Katanya, orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian insiden atau aktiviti jenayah di laut boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1475
Kongsi :
Previous post 23 peserta berkayak sejauh 42 km, pra-kempen TMM2024
Next post Pusat sehenti kenderaan rekreasi beroperasi November
Ubah saiz-+=