MBMB peruntuk RM45.3 juta sepanjang 2023

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 11 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperuntukkan sejumlah RM45.3 juta bagi perbelanjaan mengurus tahun 2023.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding perbelanjaan RM38 juta pada tahun 2022.

“Peruntukan ini bagi perbelanjaan mengurus melibatkan sebanyak 367 buah projek di dalam kawasan pentadbiran MBMB.

“Tahun ini meningkat sedikit kerana persempadanan semula kawasan pentadbiran MBMB dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selain menjalankan kerja projek tebatan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB di Dewan Taming Sari MBMB di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shahril Che Saad, Ketua Ahli Majlis MBMB, Abd Razak Abu dan Ketua Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Shaifulfazlee Mohamad.

photo1673414583
DATUK Bandar MBMB Datuk Zainal Abu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat kira-kira 12 projek yang perlu diberi perhatian dan penambahbaikan oleh MBMB bagi memberi manfaat serta keselesaan kepada warga bandaraya tahun 2023.

“Antara projek itu ialah menaik taraf sistem perparitan di Taman Alai Perdana serta peruntukan RM1.3 juta bagi mengatasi banjir di Taman Alai Jaya dan cadangan pembaikan cerun di Bukit Senjuang RM1.8 juta.

“Selain itu, ia turut membabitkan cadangan naik taraf gerai sedia ada di Taman Alai Perdana dan membina sebuah gerai pusat penjaja terbuka dan lain-lain di Taman Telok Mas bernilai RM5 juta dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal berkata, sepanjang tahun 2022 MBMB berjaya mengutip hasil cukai taksiran sebanyak RM122.065 juta.

“Dengan hasil ini kita akan gunakan untuk perancangan projek fasiliti, pengindahan bandaraya dan banyak lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2315
Kongsi :
Previous post Padah longgok sisa secara haram, syarikat ubah suai didenda RM15,000
Next post ‘Tok Ajak’ bentang pencapaian setahun Telok Mas
Ubah saiz-+=