Padah longgok sisa secara haram, syarikat ubah suai didenda RM15,000

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 11 Januari – Sebuah syarikat pengubahsuaian rumah didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, selepas didapati bersalah melonggokkan sisa pepejal di lokasi tidak diwartakan.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Jun Kiat Trading, yang diwakili pengarahnya Tan Choon Kiat, 55, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Syarikat itu didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial dalam kejadian di kawasan tanah di Mukim Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 1.10 petang pada 16 Ogos 2022.

Oleh itu, syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 71(8) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

OKS yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar denda yang rendah dikenakan kerana syarikatnya tidak menerima banyak tempahan kerja pengubahsuaian.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Abd Hadi Abd Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira lokasi kejadian berdekatan kawasan perumahan dan perbuatan itu secara tidak langsung bukan sahaja boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar tetapi juga mengancam nyawa orang ramai jika dibiarkan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan syarikat terbabit didenda RM15,000 dan OKS membayar denda berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1897
Kongsi :
Previous post Identiti kru kapal hilang di Perairan Indonesia dikenal pasti
Next post MBMB peruntuk RM45.3 juta sepanjang 2023
Ubah saiz-+=