MBMB Warriors juara sulung Governor Cup Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Januari – MBMB Warriors FC muncul juara sulung Kejohanan Governor Cup Melaka 2022 selepas menewaskan Tampoi FC 2-1 pada perlawanan akhir, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, MBMB Warriors bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-4 menerusi jaringan Muhd Nor Harith Roslan.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Tampoi FC yang juga juara Liga Melaka Divisyen 1 2022 kembali menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu.

Gol itu terhasil selepas Muhd Shamerul Abd. Aziz menyempurnakan sepakan penalti susulan pemain Tampoi FC dikasari penjaga gol.

Selepas itu, perlawanan kembali rancak dengan kedua-dua pasukan saling melakukan asakan bertali arus bagi memburu gol kemenangan.

IMG_20230126_012627_272
DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Aksi pasukan MBMB Warriors FC menentang pasukan Tampoi FC pada Perlawanan Akhir Governor Cup Melaka 2022 di Stadium UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagaimanapun selepas tamat 90 minit masa sebenar, tiada gol dijaringkan.

Sedang perlawanan disangka berakhir dengan keputusan seri dan bersambung ke penentuan sepakan penalti, Muhd Hakimie Helmy muncul wira MBMB Warriors selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan di masa kecederaan.

Kemenangan itu melayakkan MBMB Warriors membawa pulang hadiah kemenangan RM8,000 berserta medal dan piala pusingan Governor Cup Melaka.

Manakala Tampoi FC selaku naib juara membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000 dan medal.

Tempat ketiga pula dikongsi pasukan Rizq FC dan Jebat FC yang masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan RM2,500.

IMG_20230126_012450_801
YANG di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam hadir menyaksikan pasukan Tampoi FC menentang MBMB Warriors FC pada Perlawanan Akhir Governor Cup Melaka 2022 di Stadium UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri VP Shanmugam dan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.

Turut hadir, Naib Canselor UTeM Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Ketua Pegawai Eksekutif UTeM Holding Sdn. Bhd. Datuk Wira Sazali Muhd Din dan Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Untuk rekod, pada edisi sulung ini, sebanyak 17 pasukan bersaing dalam format peringkat kumpulan, sebelum lapan terbaik mara ke suku akhir dan seterusnya empat ke separuh akhir sebelum berakhir dengan dua pasukan di pentas final.

Antara pasukan yang bersaing dalam Governor Cup 2022 ialah Tampoi FC, Jebat FC, Hulubalang FC, MBMB Warriors FC, Durian Tunggal United FC, Bara FC, Bertam Ulu FC, Duyong Fighter FC, Bachanglona FC dan Rizq FC.

Selain itu, kejohanan itu turut menampilkan pasukan jemputan terdiri daripada Parlimen Masjid Tanah, Parlimen Alor Gajah, Parlimen Tangga Batu, Parlimen Hang Tuah Jaya, Parlimen Kota Melaka, Parlimen Jasin dan UTeM TUAH FC.

 

**Keputusan Penuh Governor Cup Melaka 2022:

 

Juara: MBMB Warriors FC

Naib Juara: Tampoi FC

Ketiga: Jebat FC dan Rizq FC

 

Anugerah Fair Play:-

Jebat FC

 

Anugerah Penjaring Terbanyak:-

1. Sharqawy Mahathir – Tampoi FC (6 gol)

2. Nor Harith Roslan – MBMB Warriors FC (6 gol)

3. Mohd Saaq Sani – Rizq FC (6 gol)

 

Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan:-

Mohd Hakimi Helmi – MBMB Warriors FC

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1647
Kongsi :
Previous post Pemuda dikhuatiri lemas, dua rakan selamat bot terbalik
Next post Tahun 2023, MPJ bakal ‘mewarnakan’ Jasin
Ubah saiz-+=